Thursday 31 October 2013

Kejayaan

Teks : Saniah Mat Sanat

Foto : Puan Masayu Ahmad
Bismillah.

Assalamualaikum.

Kejayaan satu perkataan yang subjektif bagi saya. Berjaya atau kurang berjaya bukan persoalannya.  Bagaimana kita berusaha dan apakah yang kita lakukan untuk mencapai satu-satu kejayaan itulah kejayaan pada pandangan peribadi saya.

Alhamdulillah, saya berjaya mencapai tahap yang ditetapkan untuk Kelas Asas Blog. Sekarang, saya cuma perlu menjadikan blog saya berpengaruh. Masih panjang sebenarnya perjalanan saya.  Seperti anak kecil yang baru sahaja pandai berjalan.

Apabila dimaklumkan oleh guru saya, iaitu Puan Aishah Hussein. Saya sudah mencapai tahap yang ditetapkan, saya berasa sungguh gembira dan teruja sekali. Alhamdulillah, inilah pengalaman manis yang saya akan saya ingati sepanjang hidup saya ini. Manakan tidak dari tidak pandai berblog saya sudah ada dua blog yang sudah saya siapkan atas tunjuk ajar semua dalam Akademi Bekerja Dari Rumah.  Malahan saya sedang membina satu lagi blog.  Ilmu yang diberikan saya gunakan berkali-kali. Memang berbaloi saya masuk Kelas Asas Blog ini.

*****

Apa yang kita belajar dalam kelas asas blog dan penulisan.

a.. Menulis cara santai, tetapi masih lagi mengekalkan Bahasa Melayu formal. Ini salah satu cara menarik minat pembaca suka dan datang lagi ke blog.

b. Bina tapak awal memperkenalkan diri kepada pembaca/bakal pelanggan.

c. Belajar menulis dan latihan menulis untuk dapatkan momentum.

d. Teknik tulisan yang mempengaruhi pembaca datang dan datang lagi.

Mula sekarang sebelum terlambat.


Kelas Asas Membina Blog terus bersiaran dan jumlah pelajarnya semakin meningkat, begitu juga dengan trafik.  Bagaimana mahu meningkatkan trafik di blog?  Walaupun kita sudah mempunyai blog, belum tentu trafik blog kita sekonsisten pelajar-pelajar Kelas Asas Blog. Mahu saya tunjukkan caranya? Boleh email saniah.matsanat@gmail.com atau pm saya. 

Friday 25 October 2013

Hak Cipta

Teks : Saniah Mat Sanat

Foto : Carian Google


Bismillah. 

Assalamualaikum.

Cerita mengenai isu hak cipta membuatkan sebahagian dari kita rasa ia mengekang kreativiti.  Sebenarnya jika kita memahami apakah hak cipta itu, tidaklah ia mengekang kreativiti tapi ia melindungi sebenarnya.

Mengikut Kamus Dewan dan Pustaka, hak cipta bermaksud hak seseorang pencipta seperti pengarang, penggubah lagu atas hasil ciptaannya yang dilindungi undang-undang. Walau apapun rasanya saya sendiri perlu berhati - hati semasa menulis di blog ini.

Semalam, saya baru sahaja mendapat perkongsian dari Puan Nisah Haron mengenai isu hak cipta ini. Di bawah adalah perkongsian dari beliau.

HAK CIPTA - Isu memasukkan lirik lagu ke dalam novel / cerpen dan lain-lain | Saya telah banyak kali ditanyakan isu ini. Hendak menjawabnya panjang. Tak tertulis di blog, FB dan sebagainya. Jadi, saya pendekkan di sini.

1. Tidak boleh ambil lirik lagu orang lain (lirik lagu juga ada hak ciptanya sendiri) untuk dimasukkan ke dalam karya sendiri TANPA izin daripada penulis lirik. Izin itu mestilah dalam bentuk bertulis.

2. Cari jalan supaya izin diperoleh. Tulis surat, e-mel, google supaya dapat maklumat pemegang hak cipta kepada lirik lagu. Usaha dengan gigih dalam proses ini.

3. Jika dizinkan, bersedia bahawa pemegang hak cipta lirik lagu boleh mengenakan bayaran kerana anda mahu memasukkan sebahagian atau keseluruhan lirik lagunya bagi melengkapkan karya anda sendiri.

4. Jika bernasib baik, penulis lirik itu akan beri guna dengan percuma dengan syarat berikan kredit (nyatakan pada buku bahawa lirik lagu itu merupakan hak cipta SI PENULIS LIRIK, dan izin telah diperoleh bagi menerbitkan lirik itu semula di dalam buku ini.

5. Jika tidak bernasib baik, semua e-mel tidak dibalas dan tiada cara lagi untuk dapatkan izin. Masih boleh digunakan, tetapi mesti letak satu kenyataan pada awal atau hujung karya bahawa "segala usaha telah dilakukan bagi menghubungi tuan punya hak cipta lirik berkenaan. Sesiapa yang mengetahui pemilik hak cipta bagi lirik berkenaan, hendaklah menghubungi penerbit" - lebih kurang begitulah ayat yang sepatutnya ada. Pastikan nama pemilik hak cipta dikreditkan. Dalam kerja-kerja akademik (ilmiah) dipanggil "citation".

6. Tolong jangan salah guna ayat No. 5 di atas. Cari sungguh-sungguh dan usaha. Bukan sekali google selepas itu terus hendak lepaskan diri. Tuhan tahu anda mencuri. Ambil tanpa izin ialah MENCURI.

Point No. 1 - 6 juga terpakai kepada lukisan, imej, foto dan semua karya yang mempunyai hak cipta. Karya yang bebas hak cipta (copyright free) akan dinyatakan secara jelas. Karya yang tidak dinyatakan bahawa ia bebas hak cipta, tidak boleh dianggap bahawa ia bebas hak cipta.

Harap maklumat ini dapat membantu.

Saya sendiri sebelum ini ada melakukan "copy" dan "paste" . Alhamdulillah, Kak Aishah telah menegur dan memantau penulisan saya.  Inilah salah satu kelebihan memasuki kelas asas blog.

Astagfirullah. Wallahu'alam. 

Rujukan : 

http://prpm.dbp.gov.my
https://www.facebook.com/nisah.haron?fref=ts

Tuesday 22 October 2013

Air Panas.

Teks : Saniah Mat Sanat

Foto : Carian Google


Bismillah.

Assalamualaikum.

Baru - baru ini, adik lelaki saya telah mengalami kemalangan di tempat kerja.  Adik lelaki telah termasuk ke dalam bekas air panas yang digunakan di kilang tempat dia bekerja.  Apabila mendapat tahu mengenai kemalangan tersebut hati saya sungguh risau.  Namun apabila di beritahu kecederaan dia tidaklah teruk, saya berasa sungguh lega.  Sekarang dia masih dirawat di hospital dan akan pulang ke rumah tidak lama lagi.

Apabila terkena air panas sebenarnya kita perlu segera memberikan rawatan awal sebelum di hantar ke hospital.  Tidak usah panik.  Kita juga hendaklah melihat tahap kecederaan. Bagi kecederaan kecil segeralah sejukkan dengan air paip yang mengalir atau rendam dalam takungan air.  Boleh juga dibalut dengan kain basah selama lima minit sehingga hilang rasa sakit.  Perlu juga tanggalkan barang kemas atau jam tangan pada tempat yang tercedera.  Jangan pecahkan gelembong atau tanggalkan kain yang melekat pada tempat yang cedera itu.  Balut menggunakan kain bersih.

Untuk kecederaan tahap teruk hendaklah baringkan mangsa dan siramkan dengan air selama sepuh minit.  Tanggalkan juga barang kemas, jam tangan, tali pinggang atau benda yang dipakai ketat.  Jangan tanggalkan pakaian yang melekat pada tempat yang tercedera.  Balut tempat yang tercedera menggunakan kain bersih dan selimutkan mangsa dan bersegeralah ke hospital mendapatkan rawatan lanjut.

Manakala untuk rawatan kecederaan akibat bahan kimia, kita juga hendaklah segera alirkan air di tempat yang tercedera selama lima minit.  Balut kecederaan menggunakan kain bersih.  Segeralah dapatkan rawatan lanjut.  Semasa membantu, kita hendaklah berhati - hati supaya bahan kimia tersebut tidak terkena pada kita pula.  Jangan sekali - kali menyapukan tempat yang tercedera dengan mentega, ubat gigi, kicap, minyak berangin atau sebagainya.


Berhati - hatilah apabila kita berada di dapur atau di mana jua.  Walahu'alam.

Sunday 13 October 2013

Seminggu Tanpa Blog.

Teks : Saniah Mat Sanat

Foto : Carian Google


Bismillah.

Comel gambar di atas kan.  Seminggu tanpa mencatat di sini membuatkan diri serba tidak kena.  Rupanya penulisan di blog ini membantu tekanan saya hilang.  Walaupun masih merangkak - rangkak, saya gembira menulis.

Sepanjang minggu ini, saya harus menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan dengan anak - anak. Walaupun anak - anak sudah selesai menghadapi peperiksaan UPSR, PSRA dan PMR.  Masih terdapat satu lagi peperiksaan akhir tahun yang perlu mereka hadapi.  Keperluan  keluarga perlu lebih saya utamakan.

Rindu saya mahu menulis dan berjalan - jalan melihat dan membaca blog rakan - rakan dari Akademi Bekerja Dari Rumah.

Tiga C Rahsia Kebahagiaan Rumahtangga.

Teks : Saniah Mat Sanat

Foto : Carian Google


Assalamualaikum.

Bismillah.

Tentu teman sekalian tertanya - tanya, apakah Tiga C yang menjadi tajuk catatan saya hari ini.  Tiga C ini adalah rahsia kebahagiaan rumahtangga yang saya perolehi dari mendengar IKIM. fm.  Rancangan Persona D'Zahra kelolaan Ustaz Muhammad bin Abdullah.  Rancangan ini merupakan sebuah rancangan bualbicara bersiaran secara langsung yang membincangkan isu-isu rumahtangga dan kekeluargaan. Ianya juga bersifat interaktif dengan pendengar berpeluang bertanyakan soalan samada melalui talian telefon terus ke konti, atau sistem pesanan ringkas (SMS) atau facebook IKIM.fm. 

Kita mulakan dahulu dengan C yang pertama iaitu CURI HATI.  Curi hati maksudnya kita cuba memahami atau mengambil hati pasangan kita. Contohnya, nabi sendiri mengambil hati isterinya dengan berlumba lari bersama - sama. 

Apabila sudah berkahwin orang kita selalu mengabaikan salah satu cara ini.  Cuba kita dengar tutur kata serta lihat lenggok badan pasangan kita.  Pasti kita tahu bagaimana cara untuk mencuri hatinya. 

Sambungan Tiga C ini akan saya sambung lagi.  Masih ada dua C lagi. Tunggu ya...

Friday 4 October 2013

Alam Baru Perkahwinan.

Teks : Saniah Mat Sanat

Foto : Carian Google


Bismillah.

Assalamualaikum.


Setiap orang punya kelebihan serta kekurangan.  Dalam perkahwinan, suami dan isteri saling lengkap melengkapi.  Apapun, bertolak ansur amat perlu dalam melayari perkahwinan.  Maklumlah  masing - masing membesar dalam keluarga dan budaya yang berbeza. Seperti ikan di laut, asam di darat akhirnya bertemu jua.

Ya, semasa berkawan tapi mesra kita tidaklah mengenali sepenuhnya pasangan kita.  Seperti cara tidurnya, cara mengemasnya dan lain - lain.  Saya ada mendengar satu kuliah di masjid, kata ustaz.  Anak kita punya tiga wajah iaitu wajah semasa bersama ibu dan bapa, wajah ketika bersama guru - gurunya dan wajah ketika bersama kawan - kawannya.  Begitulah juga dengan pasangan kita.  Kita mengenalinya semasa berkawan tapi mesra, semasa di alam pertunangan dan akhir sekali semasa    berada di alam perkahwinan.

Saya akui memang berlainan apabila sudah berkahwin dengan sebelum berkahwin.  Semasa berkawan tapi mesra sebahagian dari kita hanya memandang sisi baik sahaja.  Mengabaikan satu sisi lagi.  Kita hanya nampak yang indah - indah sahaja.  Mana mahu memandang dan mendengar yang kurang elok kan. 

Kita perlu membiasakan diri mendengar dan menerima teguran, andai tidak banyaklah kesulitan yang akan kita alami apabila berada di alam perkahwinan.  Terutamanya semasa bersama keluarga mertua. Maklumlah mertua dan ipar duai masih belum mengenali kita seperti mana ahli keluarga kita.
Jadi cuba fahami dahulu keluarga pasangan kita.

Jika kita baru sahaja berkahwin dan menerima teguran baik dari suami, mertua atau ipar duai ambillah sebagai satu cara untuk kita terus membaiki diri.  Bukankah teguran tanda sayang.  Pada permulaannya memang hati berasa sakit tapi apabila sudah biasa kita jatuh suka pula.  Alah bisa, tegal biasa kata orang.  In Shaa Allah, kita akan menjadi lebih baik dari diri kita yang dahulu.

Astagfirullah.  Wallahu'alam.




Thursday 3 October 2013

Minggu Sibuk.

Teks : Saniah Mat Sanat

Bismillah.

Assalamualaikum.

Apa khabar hari ini teman - teman sekalian ?  Memang sibuk minggu ini, hingga mengabaikan tugasan online.  Apa ya, yang saya sibukkan.  Antaranya

1. Along Zikri sedang menghadapi peperiksaan PMR.

2 . Suami tiada di rumah kerana kerja luar di Jakarta, Indonesia.

3 . Tugas ambil dan hantar anak - anak ke sekolah.
     
4 . Mengemas rumah, yalah hari minggu yang lalu rehat.

Semua di atas alasan sahaja, kena fokus dan pandai bahagikan masa.

Astaghfirullah.  Wallahu'alam.

Tuesday 1 October 2013

Doakan

Bismillah.

Assalamualaikum.

Maaf teman - teman sekalian, minggu ini jadual saya padat.  Mohon pertolongan teman - teman mendoakan anak saya, Muhamad Zikri yang akan menghadapi peperiksaan PMR esok.

Ya, Allah. Hanya padamu ku memohon, lapangkan dan tenangkanlah hati anakku Muhamad Zikri supaya mudah anakku ini menjawab soalan - soalan peperiksaan pada esok hari dan sepanjang peperiksaan dijalankan.  Aminnn

Astaghfirullah.  Wallahu'alam.