Friday 5 July 2019

Mimpi

Teks dan foto : Saniah Mat Sanat

Bukti mimpi saya yang jadi kenyataan. 

1. Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir - Goodreads Malaysia - Jejak Tarbiah

2. Rezeki Luar Biasa Suri Rumah (berbaki 8 buah)

3. Kumpulan Cerpen Legasi Bonda - DBP.

Siapa sangka, asalnya kerana minat membaca saja. Kemudian, timbul keinginan mahu menjadi penulis. Mahu capai cita-cita dari zaman sekolah. 

Ketika itu, masih anak-anak...tidak faham kenapa guru itu merasakan ia sukar dan tidak akan diperolehi. Tidak logik. Malah, disuruh menukar keinginan itu. Tegarnya guru itu,  memusnahkan angan-angan seorang anak murid yang naif. 

Anak...sifatnya lurus. Dibatalkan niat. Namun, rasa kecewa tetap bersarang di hati. Rasa itu dia simpan. Biar ia berkurung. 

Sekian lama, akhirnya peluang tiba. Anak itu sudah pun dewasa dan berkahwin. Mendapat kebebasan melakukan apa yang dia sukai. Malah, disokong sepenuh hati oleh si suami. 



Asalnya, cukuplah belajar dan menulis di blog. Akhirnya, berkat sabar dan doa hasilnya manis sekali. Buku-buku ini sudah menjadi harta yang mahu diturunkan ke legasi seterusnya. 

Thursday 4 July 2019

Hujan

Teks : Saniah Mat Sanat

Saya paling suka bila hujan, saya suka menghidu baunya dan melihat titisan air yang turun. Dulu...rumah kami sekeluarga dari atap zink.

Bila hujan, bunyinya riuh. Tapi kerana bunyi itulah, saya tahu hujan sudah turun dan cepat-cepat berlari mengangkat jemuran kain.

Bila hujan...mak suruh tadah air.

Bila hujan...mak benarkan mandi di bawah air pancur.

Bila hujan...dapat main di lopak air dan berudu.

Bila hujan...dapat melihat pelangi.

Bila hujan...dapat makan ubi rebus dan pulut tanak cicah ikan wadik serta minum air kopi.

Bila hujan...dapat duduk-duduk dengan mak abah sambil dengar mereka berdua berbual.

Bila hujan...saya suka abah berada di rumah.

Bila hujan...mak tak marah walaupun baju dan kasut sekolah basah dan kotor.

Bila hujan, saya suka menadah tangan merasai titisan airnya. Titisan itu adakalanya saya suka minum walaupun dilarang mak.

Bila hujan, abang buatkan sampan olok-olok dari kertas dan kami sama-sama bermain di parit.

Alhamdulillah. Banyaknya yang saya dapat bila hujan turun. Hujan yang memberi rahmat.

Bila hujan, semua kenangan itu pasti menerjah kembali. Rindunya...


Wednesday 3 July 2019

Tanda Ingatan.

Sudah lama tidak menulis surat. Kali terakhir saya menulis ialah dua puluh dua tahun yang lalu. Surat kepada tunang, yang sekarang sudah jadi suami.

Perhubungan kami banyak menggunakan ini selain telefon. Maklumlah ketika itu, saya di Selangor, si dia di Johor. Kemudian, si dia bekerja di Kuala Lumpur. Jadi, suratlah sebagai penganti diri.

Ingat lagi, saya terima surat dari si dia hampir setiap hari sehingga mak abah berasa pelik. Mana ada orang tulis dan hantar sebegitu bukan?

Banyak masa lapangnya. Mak siap bertanya, tidak bekerjakah si dia. Hihihi..risau seorang mak. Mungkin mak risau nanti apalah anaknya hendak makan jika asyik berutus surat saja.

Bila saya bertanya, katanya karang saja...tidak perlu panjang berjela. Cukup dengan memberitahu khabarnya dan bertanya khabar saya. Tanda ingatan.

Ya...hanya itu sahaja, tiada ayat yang berbunga-bunga. Si dia lebih banyak bertanya mengenai persiapan perkhawinan kami.

Benar...ketika itu, saya hanya terima dua helai kertas kajang dan satu lagi untuk saya membalasnya. Malah ada setemnya sekali.

Bagi saya , ini cara si dia menunjukkan rasa. Dari situ, saya tahu si dia mengambil berat dan bertanggungjawab. Lain orang, lain caranya bukan.