Thursday 12 February 2015

Perkongsian dari sahabat facebook, Tuan Khairul Hakimin Muhammad.


Teks : Saniah Mat Sanat.
Foto : Google
Bismillah.  Alhamdulillah.

Perkongsian dari sahabat facebook, Tuan Khairul Hakimin Muhammad.  Catatan bertarikh February 9 at 5:06pm.  Saya kongsikan di sini setelah mendapat keizinan dari beliau.  Saya sangat bersetuju dengan perkongsiaan ini.  Saya pernah membeli roti ini tetapi lebih menyukai Roti Gardenia.

[Yang Sudah Kongsi, Saya Tidak Marah. Ini adalah Pendapat Peribadi Saya]

Dalam seminggu ini, hampir semua ‘group’ whatsapp pakat kongsi cerita Roti Massimo. Katanya Roti ini diberi percuma di Pusat Service Toyota dan pejabat-pejabat kerajaan.

Kerana apa dikongsi merata? Kerana roti ini bakal mengguling Negara dan agama kita semua. Dikhabarkan melalui whatsapp pemilik syarikat roti ini (tidak diberitahu dalam whatsapp) adalah seoang yang bernama Robert Kwok. Katanya lagi, ianya adalah strategi halus untuk menjatuhkan bisnes Roti Gardinea milik orang melayu Islam.

Aduhai, penakut sungguh orang kita ini. Kenapa? Asal beri percuma sudah bertukar arah? Hai macam biasa sahajakan orang kita berperangai begini. Bukan sudah biasa terima kain pelikat, kain batik, beras percumakah? Kuang kuang kuang.

Begini,

i) Bisnes kita tidak jatuh dengan adanya pembeli yang terus membeli barangan berkualiti seperti Gardenia. Malah Gardenia yang punya seleksi produk yang cukup hebat akan terus digilai oleh masyarakat seperti saya. Ya, saya bukan pelanggan Massimo, malah jika diberi percuma, bukan semudah itu untuk saya bertukar kepadanya.

ii) Penakut. Kenapa terlalu ramai yang penakut sehingga orang mahu beri percuma sahaja kita sudah panic. Senang-senang kongsi maklumat ini kepada sesiapa sahaja tanpa siasat. Cuba tanya kawan-kawan di dalam group tersebut, pasti ada yang kerja kerajaan atau pakai Toyota, sudah terimakah mereka dengan roti percuma ini? Jika tidak ada sesiapa habis kenapa kamu pergi kongsi? Entah-entah fitnah. Tak pasal-pasal Robert Kwok bertambah kaya dengan pahala fitnah kamu.

iii) Bagai api dalam sekam, apabila kita tanya sahih atau tidak berita ini? Jawapannya senang sungguh; TAK TAHU, AKU SHARE JE MANALAH TAU BETUL. Jika tak betul? Oh tak apa sebab Robert Kwok bukan Islam pun, dia akan ke neraka tanpa hisab. Habis kamu buat fitnah tak masuk neraka? Entah-entah dapat duduk sebelah Robert Kwok memakan api dan menelan segala bentuk arang bakar yang sedang membara.

iv) Belajar berniaga dengan jujur. Bukan jatuh menjatuh. Sehingga hari ini saya tidak pernah lagi terima mesej dari kawan-kawan India atau Cina tentang produk Melayu itu ini begitu begini. Yang saya duk dengar ialah peniaga melayu kata itu ini tentang perniagaan cina. Dan cakap-cakap ini bakal berterusan hingga ke puluhan generasi kerana masyarakat cina membuktikan perniagaan adalah sesuatu perkara yang hebat dalam dunia mereka. Mereka buktikan dengan ‘action action action’ bukan ‘talk talk talk’ seperti masyarakat kita. Mereka membina empayar, kita bina mulut lebar. (ya selain jalur lebar yang dicuri dari rumah jiran, itu kita juga champion oi)

v) Jika benar ianya adalah strategi untuk menaikkan bisnes dengan memberi barangan dengan percuma dahulu. Ini bermaksud mereka betul-betul menggunakan strategi yang sangat bagus. Kita berjual nasi lemak pun kedekut timun sepotong, tetapi lihatlah mereka punya strategi, penuh hikmah. Beri percuma dahulu, rasa dahulu. Suka beli, tak suka duk diam. Ada perkara kita boleh belajar, bukan memandang dengan mata lalat. Nampak sahaja buruk sana sini, tidak nampak baiknya sesuatu perkara.

vi) Saya boleh terima sekiranya ada perkara yang melibatkan halal haram, seperti syarikat ini perlu dipantau kerana kilangnya kotor, atau kilangnya punya subahah yang ketara. Tetapi FFMB adalah sebuah syarikat prestige yang membina rangkaian produk makanan yang sangat hebat di seluruh Malaysia. Ya milik orang Cina. Saya kagum.

Kawan-kawan,

Kongsilah berita yang betul. Sahih. Siasat, tanya dulu satu demi satu. Jika ragu, jangan kongsi lagi. Duduk diam-diam dan abaikan.

Kita ada pisau, kita guna untuk potong ikan, ayam, labu, pisang, tembikai. Bukan untuk potong side mirror kereta jiran. Salah tu. Sama juga dengan whatsapp, facebook, blog semua. Semua boleh disalah guna. Kita tentukan semua itu.

Kita putuskan apa yang kita perlukan. Kita juga putuskan untuk kita bermata apa.
Ya, Mata Lebah vs Mata Lalat.

Wassalam.
Khairul,
Peminat Setia Roti Gardenia Yang Warna Hijau Tu.

No comments:

Post a Comment