Thursday 12 February 2015

Temu Santai Goodreads-Malaysia 2015

Teks : Saniah Mat Sanat
Foto : Goodreads Malaysia(Puan Najibah)

Alhamdulillah.  Bulan ini adalah bulan kelahiran saya.  Ini adalah salah satu cara bagaimana saya menyambutnya.  

Semua dijemput hadir, raikan International Book Giving Day bersama Goodreads Malaysia di Qreazant Book Rental, Bandar Baru Bangi, 14 Februari 2014, 10 pagi - 12.30 tengahari.

*Sharing Session bersama Puan Nor Azzah Momin mengenai Nilai Impian Little Free Library
*Tukar-tukar buku sempena International Book Giving Day
*Penyampaian Hadiah Sayembara Ulas Buku 2014.

Setiap orang ada pilihan tersendiri untuk menyambut tarikh 14 Februari pada setiap tahun. Untuk kami di Goodreads Malaysia, tarikh ini ialah "International Book Giving Day". Hari ini untuk kita hadiahkan buku kepada sesiapa sahaja yang kita suka.

Bagi yang sudi dan berkelapangan, jemput ke butiran yang berikut : 
Tarikh : 14 Feb 2015 (Sabtu)
Masa : 10.00 pagi - 12.30 tengah hari 
Tempat : Kedai Sewa Buku QReazant, Bandar Baru Bangi.
42-1-1a, Jalan pusat Bandar 2B, sek 9, Bandar Baru Bangi, landmark: opposite petronas, area                             Manjaku, sebelah Am Islamic Bank atas Hair Profile 

Puan Nor Azzah juga akan berkongsi pengalaman tentang Little Free Library Nilai Impian - perpustakaan mini/kecil di hadapan rumahnya dalam mengusahakan budaya membaca dalam kalangan ahli masyarakat.

Tiada agenda lain, kecuali buku, buku dan buku! Jika belum menjadi ahli Goodreads. Mudah sahaja, terus ke laman www.goodreads.com, dan mendaftar sebagai ahli. Ia sebuah laman sosial untuk penggemar buku sahaja. 
Marilah kita sama-sama berkongsi akan rasa cinta terhadap buku dan ilmu. Bawa sebuah buku untuk dihadiahkan kepada seseorang dan kita juga tidak akan tahu, buku apa yang bakal kita terima pada hari itu! 

p/s : Sesudah itu boleh ke acara Borak Buku bersama Prof. Dr. Khoo Kay Kim di NU Sentral pada pukul 3.00 petang pula.

Kredit poster : Puan Najibah A. Bakar (admin Goodreads Malaysia)
Kredit teks : Puan Najibah dan Puan Nisah Haron.

Perkongsian dari sahabat facebook, Tuan Khairul Hakimin Muhammad.


Teks : Saniah Mat Sanat.
Foto : Google
Bismillah.  Alhamdulillah.

Perkongsian dari sahabat facebook, Tuan Khairul Hakimin Muhammad.  Catatan bertarikh February 9 at 5:06pm.  Saya kongsikan di sini setelah mendapat keizinan dari beliau.  Saya sangat bersetuju dengan perkongsiaan ini.  Saya pernah membeli roti ini tetapi lebih menyukai Roti Gardenia.

[Yang Sudah Kongsi, Saya Tidak Marah. Ini adalah Pendapat Peribadi Saya]

Dalam seminggu ini, hampir semua ‘group’ whatsapp pakat kongsi cerita Roti Massimo. Katanya Roti ini diberi percuma di Pusat Service Toyota dan pejabat-pejabat kerajaan.

Kerana apa dikongsi merata? Kerana roti ini bakal mengguling Negara dan agama kita semua. Dikhabarkan melalui whatsapp pemilik syarikat roti ini (tidak diberitahu dalam whatsapp) adalah seoang yang bernama Robert Kwok. Katanya lagi, ianya adalah strategi halus untuk menjatuhkan bisnes Roti Gardinea milik orang melayu Islam.

Aduhai, penakut sungguh orang kita ini. Kenapa? Asal beri percuma sudah bertukar arah? Hai macam biasa sahajakan orang kita berperangai begini. Bukan sudah biasa terima kain pelikat, kain batik, beras percumakah? Kuang kuang kuang.

Begini,

i) Bisnes kita tidak jatuh dengan adanya pembeli yang terus membeli barangan berkualiti seperti Gardenia. Malah Gardenia yang punya seleksi produk yang cukup hebat akan terus digilai oleh masyarakat seperti saya. Ya, saya bukan pelanggan Massimo, malah jika diberi percuma, bukan semudah itu untuk saya bertukar kepadanya.

ii) Penakut. Kenapa terlalu ramai yang penakut sehingga orang mahu beri percuma sahaja kita sudah panic. Senang-senang kongsi maklumat ini kepada sesiapa sahaja tanpa siasat. Cuba tanya kawan-kawan di dalam group tersebut, pasti ada yang kerja kerajaan atau pakai Toyota, sudah terimakah mereka dengan roti percuma ini? Jika tidak ada sesiapa habis kenapa kamu pergi kongsi? Entah-entah fitnah. Tak pasal-pasal Robert Kwok bertambah kaya dengan pahala fitnah kamu.

iii) Bagai api dalam sekam, apabila kita tanya sahih atau tidak berita ini? Jawapannya senang sungguh; TAK TAHU, AKU SHARE JE MANALAH TAU BETUL. Jika tak betul? Oh tak apa sebab Robert Kwok bukan Islam pun, dia akan ke neraka tanpa hisab. Habis kamu buat fitnah tak masuk neraka? Entah-entah dapat duduk sebelah Robert Kwok memakan api dan menelan segala bentuk arang bakar yang sedang membara.

iv) Belajar berniaga dengan jujur. Bukan jatuh menjatuh. Sehingga hari ini saya tidak pernah lagi terima mesej dari kawan-kawan India atau Cina tentang produk Melayu itu ini begitu begini. Yang saya duk dengar ialah peniaga melayu kata itu ini tentang perniagaan cina. Dan cakap-cakap ini bakal berterusan hingga ke puluhan generasi kerana masyarakat cina membuktikan perniagaan adalah sesuatu perkara yang hebat dalam dunia mereka. Mereka buktikan dengan ‘action action action’ bukan ‘talk talk talk’ seperti masyarakat kita. Mereka membina empayar, kita bina mulut lebar. (ya selain jalur lebar yang dicuri dari rumah jiran, itu kita juga champion oi)

v) Jika benar ianya adalah strategi untuk menaikkan bisnes dengan memberi barangan dengan percuma dahulu. Ini bermaksud mereka betul-betul menggunakan strategi yang sangat bagus. Kita berjual nasi lemak pun kedekut timun sepotong, tetapi lihatlah mereka punya strategi, penuh hikmah. Beri percuma dahulu, rasa dahulu. Suka beli, tak suka duk diam. Ada perkara kita boleh belajar, bukan memandang dengan mata lalat. Nampak sahaja buruk sana sini, tidak nampak baiknya sesuatu perkara.

vi) Saya boleh terima sekiranya ada perkara yang melibatkan halal haram, seperti syarikat ini perlu dipantau kerana kilangnya kotor, atau kilangnya punya subahah yang ketara. Tetapi FFMB adalah sebuah syarikat prestige yang membina rangkaian produk makanan yang sangat hebat di seluruh Malaysia. Ya milik orang Cina. Saya kagum.

Kawan-kawan,

Kongsilah berita yang betul. Sahih. Siasat, tanya dulu satu demi satu. Jika ragu, jangan kongsi lagi. Duduk diam-diam dan abaikan.

Kita ada pisau, kita guna untuk potong ikan, ayam, labu, pisang, tembikai. Bukan untuk potong side mirror kereta jiran. Salah tu. Sama juga dengan whatsapp, facebook, blog semua. Semua boleh disalah guna. Kita tentukan semua itu.

Kita putuskan apa yang kita perlukan. Kita juga putuskan untuk kita bermata apa.
Ya, Mata Lebah vs Mata Lalat.

Wassalam.
Khairul,
Peminat Setia Roti Gardenia Yang Warna Hijau Tu.

Kisah Mak Jemah.


Teks : Saniah Mat Sanat.

Jom kita baca kisah Mak Jemah yang sangat excited mahu memulakan bisnes.

Mak Jemah berkira-kira mahu ke pusat borong. Niatnya mahu mula berniaga. Dia sudah awal-awal memasang strategi menyiapkan kedai di depan rumah.

Maka sampailah Mak Jemah di Pusat Borong Macam Macam Ado.
Mak Jemah mula teruja dari satu kedai dia singgah ke satu kedai. Singah di kedai tudung, mak jemah mahu jual tudung, lalu diborongnya tudung. Sampai di kedai pakaian kanak-kanak, Mak Jemah asyik pula borong pakaian kanak-kanak sebabnya cantik dan leka lihat pelbagai 'fesyen' yang menarik.

Mak Jemah sampai pula di kedai 'makanan segera'. Lalu dibelinya juga banyak sebab katanya nanti mesti laku. Mak Jemah jalan-jalan lagi singgah di kedai kelengkapan ibu bersalin. Lalu dibelinya juga sebab fikirannya pada masa itu, mesti laku sebab di hospital, hari-hari wanita bersalin ;P

Maka sudah senja, wang modal sudah habis, Mak Jemah pun pulang dengan gumbira. Sampai di rumah dia terpana seketika, kerana dia lupa kedainya tertera papan tanda besar yang cantik 'PUSAT JUALAN IKAN DAN SAYUR SEGAR' yang sudah siap dipasang.

Apa pengajaran cerita di atas suri sekalian?

Sunday 1 February 2015

Kelab Kelas PIBG

Teks: Saniah Mat Sanat
Foto: Kelab Kelas PIBG

Bismillah.  Alhamdulillah.
Semalam dan hari ini, saya bertugas memantau perjalanan kelas tambahan yang dianjurkan oleh Kelab Kelas PIBG (Tingkatan Lima) Sekolah Menengah Al-Amin, Bangi. Kelas diadakan pada pukul lima petang hingga tujuh petang. Dan bersambung semula pada pukul lapan malam hingga sepuluh malam.  Jadual kelas hari ini adalah biologi, akaun dan bahasa arab. Tenaga pengajar dipanggil dari luar. Ya, sedikit bayaran diberikan.  Makanan untuk anak-anak juga disumbangkan oleh ibu-bapa.