Teks dan Foto : Saniah Mat Sanat
Dulu, sebelum kahwin, Kak Ani jarang minum petang. Keluarga Kak Ani pula sesekali saja, itu pun jika ada tetamu datang.
Bila dah kahwin, mentua memang siapkan minum petang setiap hari. Kekok juga pada mulanya sebab masih kenyang. Jadi, Kak Ani makan sikit saja.
Sedikit sebanyak, rutin minum petang ni Kak Ani terikut juga. Ada kalanya Kak Ani sediakan bubur atau goreng pisang. Selalunya, paling mudah makan biskut.
Sebenarnya inilah petua Kak Ani pikat suami tau. Rutin harian yang sudah lama dia lakukan elok kita ikut. Kita cuma olah ikut kesesuaian kita sekeluarga pula. Sesekali, jika mahu lebih mudah beli saja kuih yang sudah siap atau dibekukan. Tinggal kita nak bancuh air. Mudah bukan?
#kahwinmuda #catatanpengalaman2017
#MMGBESTS #Dropshipdiperlukan
Sunday, 19 November 2017
Pikat Suami Dengan Rutin Mentua
Thursday, 10 August 2017
Kukuhkan Asas
Foto : ABDR
Untuk pengetahuan kalian, Kak Ani belajar bina asas blog dan asas menulis dengan sekali bayaran sahaja untuk seumur hidup bersama Akademi Bekerja Di Rumah(ABDR). Itulah pakej pelajar batch yang kedua, tahun 2013.
Malah, Kak Ani juga salah seorang pengurus online ABDR. Tugas Kak Ani memperkenalkan ABDR dan memudahkan kalian yang mahu belajar bersama-sama.
Ya, nilai ilmu yang Kak Ani perolehi lebih banyak berbanding yuran. Pada tahun itu, Kak Ani hanya membayar sebanyak rm180. Kak Ani sudah bina beberapa blog. Bayar dan belajar sekali, guna berkali-kali.
Itu sebabnya Kak Ani berani rekemen kelas ini pada kalian. Syaratnya, kalian perlu berikan komitmen. Sekarang, kelas selama 20 hari dan latih tubi sebanyak 44 entry. Kukuhkan asas untuk belajar yang lebih advance.
Friday, 26 May 2017
Kenangan Berpuasa.
Teks : Saniah Mat Sanat.
Dulu, masa sekolah rendah rasanya. Umur tujuh ke lapan tahun, macam tu lah. Kak Ani dah diajar berpuasa. Balik dari sekolah memang tak larat sangat. Bila dah macam tu, mesti minta nak berbuka kat mak.
Alah, puasa budak-budak kan. Tengahari dah buka tudung periuk. Hari ni puasa sekerat hari, esok separuh lagi. Bila tambah, jadilah sehari. Hihihi... kira-kira sendiri. Bangga pula tu. Kononnya, dah puasa.
Bila semakin besar, minta juga nak berbuka awal, mak suruh tidur atau main batu seremban. Inilah satu-satunya permainan yang mak benarkan bila bulan puasa. Kalau main kejar-kejar atau sorok-sorok, memang kena marah.
Cara mak abah ajar berpuasa itulah yang Kak Ani guna masa mahu mulakan anak-anak berpuasa. Tiada paksaan. Cuma kongsi apa yang 'best' bila kita berpuasa. Cerita kenapa perlunya kita puasa.
Pengalaman Kak Ani berpuasa dengan anak-anak semuanya okay. Tak susah nak kejut bangun sahur. Drama sikit-sikit tu, biasalah budak-budak lagi kan. Kejap-kejap tanya bila nak azan. Azan waktu zuhur atau asar pun mereka ingat dah boleh berbuka.
Sebenarnya, anak-anak ni macam kitalah masa kecil - kecil dulu. Ajarkan mereka perlahan-lahan, kena fahamkan dulu apa itu puasa. Dah faham, mudah saja. Mereka sendiri sanggup tak nak berbuka.
#catatanpengalaman2017
Thursday, 25 May 2017
Bulan Puasa.
Teks dan Foto : Saniah Mat Sanat.
Berbaki sehari saja lagi. Dah tak sabar sebenarnya. Bila bulan puasa, Kak Ani mesti teringat juadah berbuka puasa hasil air tangan mak iaitu mutabak pisang emas. Manis buah dicampur dengan kerangupan kulit murtabak itulah yang tak dapat Kak Ani lupa.
Kita ni, mak-mak mana boleh pisah dengan bercakap mengenai makanan kan. Sama saja. Setiap hari pun fikir bab nak makan apa, nak masak apa. Tak begitu.
Kalian tentu juga sudah sedia kan. Mesti sudah rancang dan beli bahan masakan untuk tempoh tiga puluh hari yang akan kita sama-sama hadapi. InsyaAllah.
Pagi tadi, Kak Ngah Nurul Aida Mohd Harizan, tanyakan di mana kami akan solat terawih tahun ini, terus tersentap hati Kak Ani. Tak sangkalah, dia tanya begitu. Tapi Kak Ani tunjuk wajah cool saja. Selamba jawab, solat di rumah, surau atau masjid berdekatan.
Kenapa Kak Ani rasa terkejut? Sebab semenjak anak-anak besar ni memang ajak mereka sama-sama berterawih. Tapi tak lah sehingga memaksa. Jika mereka ada kerja sekolah atau letih, tak mengapa tak pergi. Solat saja di rumah walaupun dua rakaat. Itulah yang Kak Ani dan tuan suami pesan sebelum kami ke masjid.
Kalian, didik anak memang memakan masa. Kita lah sebagai ibu bapa perlu tunjukkan contoh terlebih dahulu. Mereka lihat apa yang kita lakukan.
Pengalaman Kak Ani, bila lihat anak-anak ni, memang rasa nampak diri sendiri sepertimana cermin memantulkan kembali imej kita. Mudah sebenarnya mahu muhasabah diri, tambahan pula bulan puasa ni kan.
Monday, 3 April 2017
Tips Lebih Tenang.
Pagi ini, rutin masih sama. Anak kembar Kak Ani sudah ke sekolah. Selepas mereka pergi, baru Kak Ani perasan hari hujan. Itu pun pastikan dengan tuan suami.
Sebelum mula masak tadi, Kak Ani sudah update status. Kemudian, laju masuk dapur. Ambil bahan masakan. Kemudian buka tingkap, sudah dengar bunyi titik-titik hujan tetapi Kak Ani abaikan saja. Mahu cepat masak. Kak Ani ada sejam sahaja untuk siapkan masak lauk dan sarapan sekaligus.
Sekarang, Kak Ani sudah sarapan. Ambil peluang dengar bunyi-bunyi dari sekeliling rumah. Kedengaran bunyi kipas berpusing, titik-titik hujan dan suara anak jiran di belakang rumah. Tenang saja sambil menulis.
Begitulah kawan, ada masanya kita perlu dengar dan lihat perkara-perkara biasa saja untuk bertenang. Ambil sedikit masa, cukup sepuluh atau lima belas minit saja. Lebih mudah bagi kita untuk mulakan kembali apa sahaja tugas-tugas yang sedang menanti. Paling penting, syukur selalu untuk rasa lebih tenang.
#catatanharian2017 #catatanpengalaman2017
Wednesday, 11 January 2017
Kisah Cinta Baru Bermula
Saturday, 7 January 2017
Pengalaman Dahulu Membantu.
Dulu-dulu, saya bekerja sebagai pembantu kedai makan. Ketika itu usia saya lebih kurang tujuh belas tahun. Sempatlah belajar bancuh air.
Sebelum diberi tugas membancuh air, saya basuh pinggan mangkuk. Waktu sarapan pagi dan minum petang ialah waktu puncak di kedai makan tersebut.
Selain itu, tugas saya potong, buang bijinya dan kisar cili kering. Kupas kulit bawang dan hiris nipis-nipis juga. Kemudian masak untuk dijadikan bawang goreng.
Dulu rasa penat sangat semasa bekerja. Tak berapa cekap, memang kena marah jugalah dengan tuan punya kedai. Maklumlah di rumah pun kurang membantu mak dan kakak di dapur. Puas jugalah mak dan kakak bebelkan saya.
Rupa-rupanya, skil-skil kemahiran inilah yang sangat membantu apabila saya berkahwin ketika usia muda. Kita tidak tahu, bila masa atau bagaimana ilmu yang kita perolehi akan digunakan. Samada ilmu itu kita perolehi secara langsung atau tidak langsung.
Rendah Diri. Cara Atasinya.
Ya, dulu memang rasa rendah diri. Siapa saya mahu digandingkan dengan tuan suami. Si jurutera vs si minah kilang.
Bagaimana hilangkan rasa itu? Jujurnya, dengan tambah ilmu. Banyakkan membaca. Selain itu tonton dan mendengar juga. Tambah pula, sokongan padu tuan suami.
Bukankah kita yang pilih, apa kita mahu jadi. Boleh lihat kita yang dulu, supaya ia jadi pedoman. Jalan terus.
#kahwinmuda #catatanpengalaman2017
Monday, 2 January 2017
Tahun Baru 2017
Alhamdulillah. Sudah hari kedua kita memasuki tahun baru. Lama tidak menulis di sini. Mahu terus menulis.
Awal pembabitan saya ke dunia penulisan, saya cenderung mahu tiru gaya penulis yang lain. Baca ayat sendiri rasa skema sungguh.
Sebenarnya, perlu cari gaya kita sendiri. Yang mana kita selesa. Ini yang saya sudah cuba dan menyesuaikan dengan diri.
Percayalah, jadi saja diri sendiri. InsyaAllah, apa yang kita tulis akan sampai ke hati pembaca.

