Friday 30 August 2013

Tetamu

Teks : Saniah Mat Sanat


Bismillah.


Assalamualaikum.


Semalam dan hari ini saya akan menerima tetamu. Mohon maaf tidak dapat menghadiri kelas. Persiapan menerima tetamu kena disiapkan. Saya pergi dulu. Jumpa nanti.

Wednesday 28 August 2013

Doa

Teks : Saniah Mat Sanat


Foto : Carian google



Bismillah.


Assalamualaikum.


Doa adalah salah satu senjata bagi kita sebagai orang mukmin.  Bagi saya, doa merupakan satu hubungan antara kita dengan Allah.  Saya memandang dari sisi berbeza. Alhamdulillah, Allah yang Maha Mengetahui.


Doa dan restu suami (bagi yang sudah bersuami) juga ada berkatnya.  Kata - kata kita sehari - hari juga doa.  Pengalaman saya sendiri sebelum berkahwin ingin mempunyai suami yang memahami, bertolak ansur dan ketika itu saya inginkan kehidupan yang lebih baik.  Alhamdulillah keinginan saya tercapai.


Walaupun doa tidak tertunai mengikut yang kita inginkan, sebenarnya ada yang lebih baik lagi untuk kita.  Tidak ada yang kebetulan dalam dunia kita ini.  Apa yang kita ketemu dan hadapi hari ini punya maksud tersendiri. Hanya Allah sahaja yang tahu.


Astaghfirullah.  Wallahu'alam.

Material

Teks : Saniah Mat Sanat


Foto : Carian Google



Bismillah.


Assalamualaikum.

Secara ringkasnya, kita sedia maklum keperluan material dianggap paling utama dalam persediaan sesebuah perkahwinan.  Pada pandangan saya, persediaan paling utama adalah mempelajari ilmu rumahtangga itu sendiri.


Ilmu rumahtangga merangkumi pelbagai aspek, contohnya kewangan.  Zaman berubah, kita sekarang lebih mudah mendapatkan maklumat tentang apa jua perkara yang ingin kita ketahui.  Dengan kemudahan internet, maklumat di hujung jari sahaja.


Tidak lupa juga, ilmu dan petua dari orang lama yakni dari ibu bapa kita sendiri.  Lapangkan hati dan kosongkan fikiran untuk menyerap ilmu daripada sesiapa jua.   Semoga kita memperolehi kebaikan dan memanfaatkan apa juga ilmu yang kita pelajari.  Astaghfirullah.  Wallahu'alam .  


Tuesday 27 August 2013

Sekolah - 26hb Ogos 2013

Teks : Saniah Mat Sanat


Foto : Carian Google


                                   
                                             
Bismillah.


Assalamualaikum.


Apakah makna sekolah?  Bagi anak - anak sekolah tempat mereka bertemu dan bermain bersama teman - teman.  Bagi ibu - bapa, sekolah adalah tempat anak - anak belajar menimba ilmu.  Bagi guru - guru, sekolah tempat mencurahkan bakti.  Walau apapun makna atau erti sekolah, kita semua mempunyai memori di sini.


Indahnya alam persekolahan, andai bertemu rakan persekolahan tentu gembira bukan kepalang.  Terbayang - bayang di ingatan pengalaman membonceng basikal dan berjalan kaki bersama abang.  Masa susah dan masa senang.  Masa tidak dapat di putar kembali. Ingatan yang terpahat biarlah menjadi iktibar buat diri.


Bila di kenang zaman persekolahan, beruntungnya anak - anak sekarang.  Alhamdullillah, nikmat kemudahan yang di berikan Allah.  Astagfirullah.  Wallahu'alam.

Monday 26 August 2013

Peperiksaan - Isnin, 26hb Ogos 2013

Teks : Saniah Mat Sanat


Foto : Carian Google




Bismillah.


Assalamualaikum.


Peperiksaan UPSR akan bermula lagi dua minggu, sebagai seorang ibu saya pula yang terlebih risau dan berdebar - debar.  Kedua - dua orang anak perempuan saya akan menghadapinya.  Saya cuma dapat memastikan mereka mengulangkaji pelajaran dan mendoakan supaya mereka dapat buat yang terbaik.  Apapun saya yakin dengan kedua - duanya.


Paling penting, dorongan dan semangat yang mereka perlukan sekarang. Kita sebagai ibu - bapa hendaklah mendoakan kejayaan mereka.  Jalan perjuangan anak - anak sebenarnya masih panjang.


" Ya Allah, permudahkan anak - anakku." Astagfirullah.  Wallahu'alam.





Rezeki - 25hb Ogos 2013

Teks : Saniah Mat Sanat


Foto : Koleksi Peribadi


 Bismillah.


Assalamualaikum.


Rezeki, satu perkataan yang pada kita lebih terarah pada rezeki kebendaan.  Rezeki sebenarnya meliputi banyak aspek. Nikmat bernafas juga rezeki.  Janganlah memandang dari satu sudut pandangan sahaja, lihatlah dari pelbagai sudut.


Rezeki tidak datang bergolek, apa paling penting sebenarnya kita hendaklah berusaha.  Allah melihat melalui usaha yang kita lakukan.  Sudahkah kita berusaha bersungguh-sungguh ?  Jangan disalahkan kepada orang lain apa yang terjadi pada diri kita.  Andai diri sendiri yang membuat pilihan.


Sentiasalah menambah ilmu, ilmu itu penyuluh hidup.  Gagal hari ini bukan bererti gagal selamanya.  Semoga kita sentiasa di limpahkan rezeki yang di berkati, in shaa Allah.


Astagfirullah. Wallahu'alam.

Sunday 25 August 2013

Berani Untuk Berubah

Teks : Saniah Mat Sanat

Foto : http://buku-online4u.blogspot.com/



Bismillah.


Assalamualaikum.


" Berani Untuk Berubah " slogan yang secara spontan keluar dalam minda saya semasa berbual dengan guru online, Puan Aishah Hussein.   Malah saya lebih teruja apabila turut serta dalam kelas online ini berdasarkan konsep ayat sebelas surah Ar- Rad yang bermaksud " Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya " .


Semasa menerima tugasan untuk mengulas tentang kelas online ini dari Puan Aishah Hussein, saya masih tercari-cari apa yang ingin saya tuliskan.  Setelah membaca ulasan-ulasan dari alumni penulis dari rumah, saya tahu perlu menulis dari hati.  Itulah juga tips yang saya baca dari ebook belajar asas blog dan penulisan.  Saya masih tidak percaya sebenarnya saya boleh menulis walaupun saya amat meminati aktiviti membaca buku.  Dorongan dari Puan Aishah Husein dan Puan Masayu Ahmad (pengasas Akademi Belajar Dari Rumah ) amatlah saya hargai.


Kelas yang santai dan mesra sangat membantu saya, tambahan pula saya bukanlah berpendidikan tinggi.  Sebagai seorang surirumah sepenuh masa dan berkahwin semasa muda, saya sebenarnya juga berasa rendah diri.  Melalui kelas ini saya membina keyakinan, tiada yang mustahil apabila kita berusaha.  Terima kasih banyak-banyak buat Puan Aishah Hussein dan Puan Masayu Ahmad.  Allah sajalah yang dapat membalasnya.


Semoga ada manfaatnya.  In shaa Allah.  Astagfirullah.  Wallahu'alam.

Friday 23 August 2013

Tarbiah

Teks : Saniah Mat Sanat


Foto : Koleksi Peribadi


Bismillah.


Assalamualaikum.


Selangkah kita mendekati Allah, seribu langkah Allah mendatangi kita. Pesanan inilah yang sentiasa saya ingati semasa mentarbiahkan diri.  DIA datang dari pelbagai cara.  Alhamdulillah.


Salah satunya, apabila mengunjungi halaman blog Kehidupanan Ringkas tapi Singnifikan (KRTS).  Sekarang telah pun di angkat menjadi Universiti MKI (U- MKI).  Seolah-olah saya menghadiri kuliah di universiti yang sebenar, walaupun ia tidak begitu.


Buku Ilmu Kehidupan ini adalah dari para pensyarah U-MKI, ia sebuah buku hasil dari nota-nota dewan kuliah U-MKI.  Semoga kita mendapat manfaatnya.


Astaghfirullah.  Wallahu' alam.


Kematian - 22hb Ogos 2013

Teks : Saniah Mat Sanat


Foto : Carian Google




Bismillah.

Assalamualaikum.


Mohon kemaafan dari pihak saya,  andai tajuk pilihan membuatkan ketidakselesaan kepada para pembaca.Kematian, selalu menimbulkan rasa takut kepada kita.  Hari ini, saya menghadiri satu majlis pengkebumian.  Walaupun kematian kali ini melibatkan kanak-kanak, ia tetap menghadirkan rasa insaf.  Sampai masa giliran kita pula.


Anak kecil ini sudah pasti tempatnya di syurga.  Kita belum tentu lagi.  Walau bagaimanapun kita menyayangi, ia sekadar pinjaman dari Allah untuk kita.  Ya Allah! Ampunilah kesilapan dan dosa-dosa kami.  Dosa-dosa terdahulu dan dosa-dosa akan datang, ya Allah!


Semoga ada manfaatnya.  In shaa Allah.


Astaghfirullah.  Wallahu' alam.

Thursday 22 August 2013

Kahwin muda

Teks: Saniah Mat Sanat


Foto : Carian Google





Bismillah


Assalamualaikum.


Hari ini saya ingin berkongsi dulu dengan maksud kahwin muda.  Kahwin maksudnya perikatan yang sah antara orang lelaki dengan orang perempuan untuk menjadi suami isteri dalam kata lain ialah nikah.  Muda bermaksud dalam konteks orang bersinonim dengan belia, masih remaja, masih mentah, budak, masih hijau, setahun jagung, ubun-ubun masih lembik dan masih berhingus.


Dalam Islam berkahwin bermaksud akad yang menghalalkan di antara lelaki dan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak serta tanggungjawab. Dalam erti kata lain, suatu akad yang menghalalkan persetubuhan dengan sebab perkataan yang mengandungi lafaz nikah, perkahwinan dan sebagainya.

Wednesday 21 August 2013

Pengenalan

Teks : Saniah Mat Sanat

Foto : Koleksi Peribadi


Bismillah
Assalamualaikum.


Alhamdulillah, setinggi pujian dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah atas nikmat iman dan Islam serta rezeki kesihatan tubuh badan dan rezeki kebahagiaan hidup.  Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar  Nabi Muhammad serta seluruh kaum keluarga dan para sahabat yang dikasihi.


Nama saya Saniah Mat Sanat.  Dilahirkan pada 21hb Februari tahun 1977, dibesarkan dan mendapat pendidikan rendah di Bukit Merah, Perak.  Kemudian saya meneruskan pendidikan rendah dan menengah di Felda Keratong 09, Bandar Muadzam Shah, Pahang.  Ayah saya seorang peneroka dan ibu seorang surirumah.  Saya mempunyai sembilan orang adik beradik dan saya adalah anak yang keempat dari empat orang lelaki dan lima orang perempuan.  Saya mempunyai seorang kakak, dua orang abang, dua orang adik perempuan dan dua orang adiik lelaki.


Saya tamat belajar dengan kelulusan Sijil Rendah Pelajaran. Selepas menamatkan pelajaran, saya membantu ibu dan ayah di rumah.  Waktu itu, saya membantu menjaga adik bongsu kerana ibu menghidapi penyakit.  Selepas ibu pulih, saya bekerja sebagai pembantu kedai.  Tidak lama kemudian, saya bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Segamat, Johor dan berpindah pula di Bangi, Selangor.


Saya cuma melalui alam pekerjaan selama empat tahun.  Saya bertemu dengan suami dan membuat keputusan berkahwin semasa berusia dua puluh tahun.  Selepas berkahwin, saya terus menjadi surirumah sepenuh masa dan kini mempunyai tiga orang cahayamata.  Kini anak sulung saya sudah berusia enam belas tahun dan anak kembar saya berumur tiga belas tahun.


Walaupun saya telah berkahwin minat membaca tidak saya lupakan.  Saya minat membaca semenjak saya bersekolah rendah lagi.  Pada masa itu ada juga teguran dari kakak yang mengatakan saya membaca buku yang bukan sepadan dengan usia saya.  Sebenarnya membacalah yang menambah ilmu dan mematangkan saya.


Cabaran dan ujian berkahwin semasa muda inilah yang ingin saya kongsikan kepada para pembaca.  Saya juga akan berkongsi tips rumahtangga untuk dijadikan sebagai panduan bagi pasangan yang berkahwin di usia muda.


Moga pengalaman dalam universti kehidupan ini memberi manfaat.  In shaa Allah.
Astaghfirullah.  Wallahu'alam.