Friday 26 May 2017

Kenangan Berpuasa.

Teks : Saniah Mat Sanat.

Dulu, masa sekolah rendah rasanya. Umur tujuh ke lapan tahun, macam tu lah. Kak Ani dah diajar berpuasa. Balik dari sekolah memang tak larat sangat. Bila dah macam tu, mesti minta nak berbuka kat mak. 

Alah, puasa budak-budak kan. Tengahari dah buka tudung periuk. Hari ni puasa sekerat hari, esok separuh lagi. Bila tambah, jadilah sehari. Hihihi... kira-kira sendiri. Bangga pula tu. Kononnya, dah puasa.

Bila semakin besar, minta juga nak berbuka awal, mak suruh tidur atau main batu seremban. Inilah satu-satunya permainan yang mak benarkan bila bulan puasa. Kalau main kejar-kejar atau sorok-sorok, memang kena marah.

Cara mak abah ajar berpuasa itulah yang Kak Ani guna masa mahu mulakan anak-anak berpuasa. Tiada paksaan. Cuma kongsi apa yang 'best' bila kita berpuasa. Cerita kenapa perlunya kita puasa.

Pengalaman Kak Ani berpuasa dengan anak-anak semuanya okay. Tak susah nak kejut bangun sahur. Drama sikit-sikit tu, biasalah budak-budak lagi kan. Kejap-kejap tanya bila nak azan. Azan waktu zuhur atau asar pun mereka ingat dah boleh berbuka.

Sebenarnya, anak-anak ni macam kitalah masa kecil - kecil dulu. Ajarkan mereka perlahan-lahan, kena fahamkan dulu apa itu puasa. Dah faham, mudah saja. Mereka sendiri sanggup tak nak berbuka.

#catatanpengalaman2017


Thursday 25 May 2017

Bulan Puasa.

Teks dan Foto : Saniah Mat Sanat.

Berbaki sehari saja lagi. Dah tak sabar sebenarnya. Bila bulan puasa, Kak Ani mesti teringat juadah berbuka puasa hasil air tangan mak iaitu mutabak pisang emas. Manis buah dicampur dengan kerangupan kulit murtabak itulah yang tak dapat Kak Ani lupa.

Kita ni, mak-mak mana boleh pisah dengan bercakap mengenai makanan kan. Sama saja. Setiap hari pun fikir bab nak makan apa, nak masak apa. Tak begitu.

Kalian tentu juga sudah sedia kan. Mesti sudah rancang dan beli bahan masakan untuk tempoh tiga puluh hari yang akan kita sama-sama hadapi. InsyaAllah.

Pagi tadi, Kak Ngah Nurul Aida Mohd Harizan, tanyakan di mana kami akan solat terawih tahun ini, terus tersentap hati Kak Ani. Tak sangkalah, dia tanya begitu. Tapi Kak Ani tunjuk wajah cool saja. Selamba jawab, solat di rumah, surau atau masjid berdekatan.

Kenapa Kak Ani rasa terkejut? Sebab semenjak anak-anak besar ni memang ajak mereka sama-sama berterawih. Tapi tak lah sehingga memaksa. Jika mereka ada kerja sekolah atau letih, tak mengapa tak pergi. Solat saja di rumah walaupun dua rakaat. Itulah yang Kak Ani dan tuan suami pesan sebelum kami ke masjid.

Kalian, didik anak memang memakan masa. Kita lah sebagai ibu bapa perlu tunjukkan contoh terlebih dahulu. Mereka lihat apa yang kita lakukan.

Pengalaman Kak Ani, bila lihat anak-anak ni, memang rasa nampak diri sendiri sepertimana cermin memantulkan kembali imej kita. Mudah sebenarnya mahu muhasabah diri, tambahan pula bulan puasa ni kan.


Friday 5 May 2017

PWTC Lagi

Teks dan Foto : Saniah Mat Sanat

Tengahari tadi, gigih Kak Ani menapak ke Stesen Komuter UKM. Adalah 15 minit perjalanan dari rumah.

Sebenarnya Kak Ani ke PWTC lagi. Ini sudah kali yang ketiga. Kali ini, khas mahu dengar cerita dari Puan Nisah Haron di reruai DBP.