Bismillah. Alhamdulillah. Allah memberi rezeki kesihatan yang baik kepada saya, suami dan anak-anak. Sayu hati saya membaca kisah Adik Alya. Terbayang di mata saya, keperitan hati Puan Siti Ronah Alias apabila megetahui anak kecilnya berhadapan komplikasi jantung. Allahuakbar, saya doakan Puan Ronah dan keluarga tabah dan kuat Alya perlu ke IJN setiap 4 bulan
Cerita ini saya ambil dari artikel yang pernah saya siarkan dalam majalah Mingguan Wanita beberapa bulan lalu. Ini kisah jiran selang sebuah rumah saya. Tentang anak kecilnya yang berhadapan komplikasi jantung. Bagi yang mahu menghulurkan bantuan, saya sertakan sekali nombor akaun miliknya.
Kehadiran si kecil yang telah sembilan bulan membesar di dalam kantung rahim Siti Ronah Alias, 36 di nanti dengan penuh debaran. Tambahan pula, lagi beberapa hari rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan negara. Sudah tentu, ia memberi jangkaan yang lebih menarik mengenai kelahiran anak bongsunya kelak.
Tanggal 31 Ogos tahun 2011, anak kecilnya itu selamat dilahirkan dengan berat 3.5 kilogram di hospital kerajaan. Bayi kecil itu kemudiannya diberi nama Nur Alya Qaisara. Alya lahir secara normal tetapi apa yang membingungkan ibu muda ini, sebaik sahaja Alya dilahirkan dia tidak terus di bawa ke katilnya.
“Saya tunggu-tunggu juga, tetapi kemudian doktor memaklumkan anak saya berhadapan dengan masalah jantung berlubang dan saluran pernafasan yang sempit,” akuinya dia tidak dapat menerima penjelasan doktor dan hanya mampu menangis sepanjang menjaga anak kecilnya itu.
“Anak-anak yang lahir sebelum ini, tak pernah lagi jadi macam ini. Baik yang sulung sampailah yang nombor empat, semuanya lahir normal dan sihat. Tapi Alya benar-benar menguji kekuatan hati saya,” luah ibu kepada Muhammad Khairul Ikhwan, 15, Fatin Fatini, 14, Nurul Asyikin, 1 dan Muhammad Alif Aiman, 9 tahun.
Keadaan Alya yang kurang stabil sebaik sahaja dilahirkan membuatkan dia diwadkan di wad kanak-kanak untuk tempoh lapan hari. Selepas itu, dia dibenarkan pulang. Sememangnya jelas kelihatan keadaan Alya yang tidak selesa semasa dia cuba bernafas. Dia juga lebih kerap menangis.
Sampailah pada hari ke 13, Na dan suami, Yuseri Yusof, 39 membawa anaknya ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan lanjut. Pasangan suami isteri ini bersyukur kerana keadaan anaknya belum dikategorikan sebagai kritikal.
Walau bagaimanapun Alya masih perlu menjalani pemeriksaan rutin untuk memastikan keadaan kesihatannya dalam keadaan yang baik. Sebelum pulang ke rumah, doktor di IJN sempat memberi pesanan.
‘Jika bibir, kuku atau kulitnya bertukar biru, cepat-cepat angkat kakinya ke dada. Jika cara itu tak berkesan, segera ke hospital’. Ingatan itu tidak pernah Na lupakan dari ingatan. Setiap saat dia akan pastikan Alya tidak berhadapan dengan apa-apa kompilkasi yang lebih kronik.
Kira-kira tiga bulan selepas pemeriksaan itu, bibir Alya tiba-tiba berubah biru. Kulitnya juga tidak merah seperti selalu. Na semakin bimbang, cepat-cepat dia angkat kaki Alya ke dada. Malam semakin pekat, hati Na semakin gelisah. Selepas beberapa ketika tubuh Alya kembali merona merah.
“Sekarang ini Alya akan ke IJN setiap 4 bulan sekali. Baru ini doktor maklumkan yang bulan September tahun ini Alya akan menjalani pembedahan menutup jantungnya yang berlubang. Kos pembedahan itu kira-kira RM35 ribu.
“Saya tahu bukan mudah untuk mengumpulkan wang sebanyak itu. Tapi ada beberapa pihak tertentu yang sarankan agar saya minta bantuan dari pihak hospital iaitu tempat Alya dilahirkan dulu. Ada juga yang sarankan saya minta bantuan Pusat Zakat. Saya sendiri pun tak pasti hendak mula dari mana,” ujar Na ketika ditemui dirumahnya.
Walaupun Alya tidak dikategorikan sebagai pesakit jantung yang kritikal namun Na sentiasa berjaga-jaga memantau tahap kesihatan anaknya itu. Apatah lagi, Alya tidak boleh terlalu terdedah dengan orang demam. Dia pasti akan turut demam sama.
“Alya ini aktif budaknya. Tapi saya tak biarkan dia main sesuka hati di luar rumah. Cuma apabila dia letih, kulit, bibir sampailah ke kuku-kuku jadi biru. Hari ini merah pula pipi dia. Barangkali dia tahu mahu diambil gambar,” cerita ibunya berseloroh.
Kos Rawatan Yang Tinggi
Sememangnya kos rawatan bulanan Alya juga sedikit sebanyak memberi cabaran yang cukup besar buat keluarga ini. Apatah lagi, suaminya hanya bekerja sendiri yang pendapatannya tidak menentu.
“Setiap kali ke IJN saya pasti akan belanja sampai RM400 untuk bayaran perubatan, duit minyak, ‘parking’ dan sebagainya. Sebab itulah kami anak beranak ikat perut. Kadangkala saya sekat makan anak-anak. Tak bolehlah bermewah-mewah, makan sekadar yang perlu sahaja.
“Belanja sekolah anak juga cukup seadanya. Duit yuran anak-anak pun ada yang tak selesai bayar lagi. Disebabkan masalah kewangan ini juga, anak-anak saya tidak dapat saya hantar ke sekolah agama. Mereka hanya bersekolah rendah sahaja,” tambahnya sayu.
Walaupun diuji dengan anak sakit, Na tidak sesekali putus harapan. Selagi ada usaha dia akan bergerak mencari cara untuk merawat anaknya. Tidak hanya bergantung kepada rawatan di IJN, Na turut membawa anaknya mencuba rawatan alternatif.
“Ada perubahan pada keadaan Alya bila saya cuba pil untuk merawat Alya. Malah pemeriksaan baru ini doktor maklumkan yang lubang pada jantungnya juga telah tertutup sedikit. Namun, ubat itu terlalu mahal, akhirnya saya terpaksa menghentikan bekalan ubatan untuknya,” jelasnya lagi.
Bagi menampung beban kewangan, Na perlu membantu suami. Sebab itulah, kini dia menjaga anak-anak jiran yang telah bersekolah. Dia akan menghantar anak-anaknya dan anak-anak jirannya ke sekolah. Jadualnya cukup padat. Bermula dari jam 11 pagi sampailah jam 5 petang, baru Na selesai menghantar anak-anak ini ke sekolah. Kadangkala dia terpaksa membuat lebih 3 trip perjalanan untuk membawa anak-anak ini dengan motosikal. Dia juga membawa sekali Alya dan diletakkan di dalam bakul motosikalnya.
“Kalau ikutkan memanglah ujian ini berat untuk saya pikul. Satu ketika saya memang sering bertanya kenapa Allah uji saya begini. Setiap petang Khamis saya akan ikuti kelas pengajian agama, dari situlah saya dapat jawapan tentangnya dan saya redha. Pasti ada hikmah disebaliknya yang tidak saya ketahui,” ujarnya menutup bicara.
Jika pembaca bermurah hati mahu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke:
Siti Ronah binti Alias di nombor akaun 1277-0000588-20-8 CIMB Islamic Bank Berhad.
Berkenalan dengan guru online ABDR: Netty Ah Hiyer
Singgah di blog: http://netty-ahhiyer.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment