Friday, 26 May 2017

Kenangan Berpuasa.

Teks : Saniah Mat Sanat.

Dulu, masa sekolah rendah rasanya. Umur tujuh ke lapan tahun, macam tu lah. Kak Ani dah diajar berpuasa. Balik dari sekolah memang tak larat sangat. Bila dah macam tu, mesti minta nak berbuka kat mak. 

Alah, puasa budak-budak kan. Tengahari dah buka tudung periuk. Hari ni puasa sekerat hari, esok separuh lagi. Bila tambah, jadilah sehari. Hihihi... kira-kira sendiri. Bangga pula tu. Kononnya, dah puasa.

Bila semakin besar, minta juga nak berbuka awal, mak suruh tidur atau main batu seremban. Inilah satu-satunya permainan yang mak benarkan bila bulan puasa. Kalau main kejar-kejar atau sorok-sorok, memang kena marah.

Cara mak abah ajar berpuasa itulah yang Kak Ani guna masa mahu mulakan anak-anak berpuasa. Tiada paksaan. Cuma kongsi apa yang 'best' bila kita berpuasa. Cerita kenapa perlunya kita puasa.

Pengalaman Kak Ani berpuasa dengan anak-anak semuanya okay. Tak susah nak kejut bangun sahur. Drama sikit-sikit tu, biasalah budak-budak lagi kan. Kejap-kejap tanya bila nak azan. Azan waktu zuhur atau asar pun mereka ingat dah boleh berbuka.

Sebenarnya, anak-anak ni macam kitalah masa kecil - kecil dulu. Ajarkan mereka perlahan-lahan, kena fahamkan dulu apa itu puasa. Dah faham, mudah saja. Mereka sendiri sanggup tak nak berbuka.

#catatanpengalaman2017


No comments:

Post a Comment