Monday, 12 January 2015

Hari Pertama Persekolahan 2015.

Teks : Sanaiah Mat Sanat.
Foto : Koleksi peribadi.
Bismillah.  Assalamualaikum.

Alhamdulillah.  Hari ini anak-anak sudah kembali ke sekolah.  Rutin harian berjalan seperti biasa.  Tahun ini, Along Zikri sudah tingkatan lima dan akan mengambil peperiksaan SPM.  Manakala Kak Ngah Aida dan Kak Su Aina, tingkatan dua.

Sarapan hari ini, saya masakkan nasi goreng.  Kali ini saya sediakan nasi goreng sepertimana yang dipelajari dari nenek ketika pulang ke kampung tempoh hari.  Namun demikian, masih tidak menyamai nasi goreng nenek.  Untuk rujukan peribadi, saya tulis dahulu resepinya.

Nasi Goreng Nenek.

Bahan-bahannya:
Cili kering(buang bijinya dan rendam dengan air panas)
Ikan Bilis - segengam
Bawang putih - seulas - dihiris halus
Bawang merah - tiga biji - dihiris halus
Garam kasar - satu sudu teh
Nasi putih - tiga cawan.

Cara-caranya :
Cili kering yang direndam hendaklah dibasuh dan ditoskan airnya(saya letakkan di tisu dapur untuk keringkan airnya)
Kemudian tumbuk cili kering bersama garam kasar. Tumbuk hingga cili lumat.
Masukkan pula ikan bilis(basuh dan toskan airnya - saya letakkan di tisu dapur untuk keringkan airnya)  - tumbuk - ikan bilis tak payah lumat sangat.
Akhir sekali, tumbuk separuh dari bawang yang dihiris halus tadi.

Cara memasak :
Sediakan kuali dan masukkan minyak - tunggu minyak panas dan tumis terlebih dahulu sebahagian bawang yang tinggal tadi.  Tumis hingga naik bau.  Bila sudah naik bau, masukkan bahan tumbuk tadi.  Goreng hingga masak.  Perlu sentiasa dikacau.  Apabila sudah masak, boleh terus masukkan nasi putih tadi.  Gaul hingga sebati dan masak.  Hidangkan.