Friday, 5 July 2019
Mimpi
Thursday, 4 July 2019
Hujan
Teks : Saniah Mat Sanat
Saya paling suka bila hujan, saya suka menghidu baunya dan melihat titisan air yang turun. Dulu...rumah kami sekeluarga dari atap zink.
Bila hujan, bunyinya riuh. Tapi kerana bunyi itulah, saya tahu hujan sudah turun dan cepat-cepat berlari mengangkat jemuran kain.
Bila hujan...mak suruh tadah air.
Bila hujan...mak benarkan mandi di bawah air pancur.
Bila hujan...dapat main di lopak air dan berudu.
Bila hujan...dapat melihat pelangi.
Bila hujan...dapat makan ubi rebus dan pulut tanak cicah ikan wadik serta minum air kopi.
Bila hujan...dapat duduk-duduk dengan mak abah sambil dengar mereka berdua berbual.
Bila hujan...saya suka abah berada di rumah.
Bila hujan...mak tak marah walaupun baju dan kasut sekolah basah dan kotor.
Bila hujan, saya suka menadah tangan merasai titisan airnya. Titisan itu adakalanya saya suka minum walaupun dilarang mak.
Bila hujan, abang buatkan sampan olok-olok dari kertas dan kami sama-sama bermain di parit.
Alhamdulillah. Banyaknya yang saya dapat bila hujan turun. Hujan yang memberi rahmat.
Bila hujan, semua kenangan itu pasti menerjah kembali. Rindunya...
Wednesday, 3 July 2019
Tanda Ingatan.
Sudah lama tidak menulis surat. Kali terakhir saya menulis ialah dua puluh dua tahun yang lalu. Surat kepada tunang, yang sekarang sudah jadi suami.
Perhubungan kami banyak menggunakan ini selain telefon. Maklumlah ketika itu, saya di Selangor, si dia di Johor. Kemudian, si dia bekerja di Kuala Lumpur. Jadi, suratlah sebagai penganti diri.
Ingat lagi, saya terima surat dari si dia hampir setiap hari sehingga mak abah berasa pelik. Mana ada orang tulis dan hantar sebegitu bukan?
Banyak masa lapangnya. Mak siap bertanya, tidak bekerjakah si dia. Hihihi..risau seorang mak. Mungkin mak risau nanti apalah anaknya hendak makan jika asyik berutus surat saja.
Bila saya bertanya, katanya karang saja...tidak perlu panjang berjela. Cukup dengan memberitahu khabarnya dan bertanya khabar saya. Tanda ingatan.
Ya...hanya itu sahaja, tiada ayat yang berbunga-bunga. Si dia lebih banyak bertanya mengenai persiapan perkhawinan kami.
Benar...ketika itu, saya hanya terima dua helai kertas kajang dan satu lagi untuk saya membalasnya. Malah ada setemnya sekali.
Bagi saya , ini cara si dia menunjukkan rasa. Dari situ, saya tahu si dia mengambil berat dan bertanggungjawab. Lain orang, lain caranya bukan.