Teks : Saniah Mat Sanat
Foto : Carian Google
Bismillah.
Assalamualaikum.
Baru - baru ini, adik lelaki saya telah mengalami kemalangan di tempat kerja. Adik lelaki telah termasuk ke dalam bekas air panas yang digunakan di kilang tempat dia bekerja. Apabila mendapat tahu mengenai kemalangan tersebut hati saya sungguh risau. Namun apabila di beritahu kecederaan dia tidaklah teruk, saya berasa sungguh lega. Sekarang dia masih dirawat di hospital dan akan pulang ke rumah tidak lama lagi.
Apabila terkena air panas sebenarnya kita perlu segera memberikan rawatan awal sebelum di hantar ke hospital. Tidak usah panik. Kita juga hendaklah melihat tahap kecederaan. Bagi kecederaan kecil segeralah sejukkan dengan air paip yang mengalir atau rendam dalam takungan air. Boleh juga dibalut dengan kain basah selama lima minit sehingga hilang rasa sakit. Perlu juga tanggalkan barang kemas atau jam tangan pada tempat yang tercedera. Jangan pecahkan gelembong atau tanggalkan kain yang melekat pada tempat yang cedera itu. Balut menggunakan kain bersih.
Untuk kecederaan tahap teruk hendaklah baringkan mangsa dan siramkan dengan air selama sepuh minit. Tanggalkan juga barang kemas, jam tangan, tali pinggang atau benda yang dipakai ketat. Jangan tanggalkan pakaian yang melekat pada tempat yang tercedera. Balut tempat yang tercedera menggunakan kain bersih dan selimutkan mangsa dan bersegeralah ke hospital mendapatkan rawatan lanjut.
Manakala untuk rawatan kecederaan akibat bahan kimia, kita juga hendaklah segera alirkan air di tempat yang tercedera selama lima minit. Balut kecederaan menggunakan kain bersih. Segeralah dapatkan rawatan lanjut. Semasa membantu, kita hendaklah berhati - hati supaya bahan kimia tersebut tidak terkena pada kita pula. Jangan sekali - kali menyapukan tempat yang tercedera dengan mentega, ubat gigi, kicap, minyak berangin atau sebagainya.
Berhati - hatilah apabila kita berada di dapur atau di mana jua. Walahu'alam.
No comments:
Post a Comment