Friday, 29 November 2013

Prosedur Lengkap Perkahwinan Bahagian Dua - Negeri Selangor

Teks : Saniah Mat Sanat

Foto : Carian Google

Bismillah.

Bahagian pertama untuk prosedur lengkap perkahwinan telah saya ceritakan di sini.  Sekarang saya sambung pula dengan bahagian kedua.  Bahagian pertama adalah prosedur lengkap untuk pihak lelaki. Manakala bahagian kedua untuk pihak perempuan pula.

Walaupun kelihatannya prosedur untuk pihak lelaki dan perempuan lebih kurang sama tapi ada juga perbezannya.  Berikut proses-proses yang perlu kita lakukan.

Perempuan.

 1. Hadiri Kursus Pra Perkahwinan

Saya cadangkan hadiri kursus pra perkahwian daripada JAIS. Tapi sekarang swasta pun ada menganjurkan kursus pra perkahwinan .  Bayaran sebanyak lapan puluh ringit diperlukan untuk hadiri kursus ini. Bayaran ini merangkumi sarapan pagi, makan tengahari, monum petang dan sijil. Kursus yang dijalankan adalah selama dua hari.  Keistemewaannya sijil ini tiada tempoh akhir. 

2. Ambil ujian peperiksaan darah HIV.

Borang untuk ujian ini boleh didapati di klinik kesihatan kerajaan sahaja dangan bayaran satu ringgit.  Maklumat lanjut mengenai ujian ini boleh dibaca sini.

3. Isi borang 2C dan 2D online, cetak dan lampirkan dokumen sokongan.

Borang untuk lelaki dan perempuan tidak sama.  Mohon ambil perhatian.  Sekarang tidak perlu lagi ambil borang di PAID atau JAIS.  Begitu juga dengan borang muat turun.  Borang hanya perlu diisi secara online dan cetak borang tersebut.  



Ini laman web untuk daftar Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR) bagi JAIS.  Daftarkan diri dahulu tentang diri kita di ruangan dan isi maklumat lengkap yang diperlukan, kemudian daftar.  'Login' dan pilih 'Perkahwinan' kemudian pilih borang 2C dan borang 2D dan isi.  Setelah selesai mengisi maklumat, cetaklah borang tersebut.  Selepas dicetak, mohon jangan tandatangan dahulu ya.  Pengesahan perlu dibuat, di dalam borang ada diterangkan siapa yang boleh sahkan.  Sertakan semua dokumen sokongan yang diperlukan seperti berikut.

1. Salinan kad pengenalan/passport. (Jika pemohon warganegara asing)
2. Salinan kad pengenalan dua orang saksi/passport. (Jika saksi warganegara asing)
3. Salinan sijil Kursus Pra Perkahwinan. (Diiktiraf oleh JAKIM/ JAIS/ JAWI/ JAIN)
4. Keputusan Ujian Saringan HIV.

5. Salinan Borang Permohonan 2C. (Jika pemohon nikah luar daerah/negeri/ negara)
6. Surat pengesahan Mastautin pemohon daripada penghulu/ketua kampung/nazir masjid/pengerusi JKKK/pengerusi jawatankuasa penduduk taman perumahan.
(bagi pemohon yang mempunyai perbezaan alamat tempat tinggal dengan alamat
di dalam kad pengenalan).

7. Surat Perakuan/Pengesahan/Akuan Sumpah Ibubapa. (Jika perempuan anak sulung atau wali adalah abang lelaki yang sulung)
8. Surat Wakallah( Jika wali tidak dapat hadir semasa akad nikah)
9. Surat Perakuan/Akuan Sumpah Kematian Wali(bapa)
10. Surat atau Kad Perakuan Islam dan salinannya(Jika pemohon saudara baru) 
11. Surat Kelulusan dari KAGAT/PDRM.(Jika pemohon anggota tentera/polis)
12. Surat Perakuan Cerai/Kematian Pasangan dan salinannya.(Jika pemohon seorang janda)
13. Surat Kebenaran Berkahwin daripada Konsulat/Kedutaan/imigresen (Jika pemohon warganegara asing)

Selesai senarai semak dokumen, kita lihat pula senarai wali sah.

1. Bapa
2. Datuk sebelah bapa ke atas.
3. Adik-beradik lelaki seibu-sebapa.
4. Adik-beradik lelaki sebapa.
5. Anak saudara lelaki seibu-sebapa.
6. Anak saudara lelaki sebapa.
7. Anak lelaki kepada anak saudara lelaki seibu-sebapa.
8. Anak lelaki kepada anak saudara lelaki sebapa.
9. Bapa saudara sebelah bapa, seibu sebapa.
10. Bapa saudara sebelah bapa, sebapa.
11. Datuk saudara sebelah bapa, seibu-sebapa dengan datuknya.
12. Datuk saudara sebelah bapa, sebapa dengan datuknya.
13. Moyang saudara sebelah bapa, seibu-sebapa dengan moyangnya.
14. Moyang saudara sebelah bapa, sebapa dengan moyangnya.
15. Anak lelaki bapa saudara  sebelah bapa, seibu-sebapa. ( sepupu lelaki)
16. Anak lelaki bapa saudara  sebelah bapa, sebapa. ( sepupu lelaki)
17. Cucu lelaki bapa saudara  sebelah bapa, seibu-sebapa.
18. Cucu lelaki bapa saudara  sebelah bapa, sebapa.
19.  Anak datuk saudara sebelah bapa, seibu-sebapa dengan datuknya.
20.  Anak datuk saudara sebelah bapa, sebapa dengan datuknya.
21. Wali Hakim.

4. Dapatkan Kebenaran Berkahwin dari Penolong Pendaftar Nikah (PPN) mengikut kariah masing-masing.

Selesai mengisi borang permohonan berkahwin, pemohon, wali dan dua orang saksi perlu bertemu PPN kariah yang telah ditetapkan. Lebih mudah, kita boleh kunjungi masjid terdekat dan bertanya dengan imam atau ahli jawatan kuasa masjid siapakah PPN Kariah. Mohon ambil perhatian, tandatangan hanya boleh dibuat di hadapan PPN sahaja.

5. Dapatkan Kebenaran Berkahwin dari PAID ( Pejabat Agama Islam Daerah)

Selepas mendapat kebenaran berkahwin , pihak perempuan hendaklah membawa surat kebenaran berkahwin pihak lelaki dan permohonan berkahwin dari pihak perempuan ke PAID.   Di sini kita akan menerima dua jenis borang, iaitu borang 3C ( surat kebenaran nikah) dan 4A ( rekod akad nikah).  Pegawai dari PAID akan semak permohonan. Bayaran sebanyak sepuluh ringgit diperlukan.   Proses ini memakan masa satu hari bekerja.

6. Serahkan Surat Kebenaran Berkahwin kepada PPN Kariah.

Selepas selesai urusan di PAID, pihak perempuan akan menyerahkan surat kebenaran berkahwin lelaki dan perempuan kepada PPN Kariah  masing-masing. 

Prosedur ini perlu kita lakukan dua bulan sebelum majlis pernikahan kita.

7. Majlis Akad Nikah Dijalankan.

Kita boleh ambil surat  perakuan nikah di JAIS atau PAID dalam masa tujuh hari bekerja.

glosari - wakallah - pemberi kuasa/mewakilkan

Rujukan : Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)