Thursday, 1 June 2017

Raikan Anak Anak Berpuasa.

Teks dan Foto : Saniah Mat Sanat

Masa begitu cepat beredar. Tidak terasa waktu berlalu bila ada banyak perkara yang mahu kita lakukan. Pagi-pagi lagi, sekitar jam empat pagi Kak Ani sudah bangun.

Aktiviti selepas sahur, masih sama seperti hari sebelum berpuasa. Perubahan pada waktu memasak sahaja. Kerja-kerja rumah juga telah  diambil alih oleh anak-anak kerana cuti sekolah.

Sekarang juga, hampir setiap petang hujan turun. Panas di sebelah pagi. Petang mendung. Agak selesa berpuasa. Kak Ani pula memang kurang keluar.

Sudah hari kelima kita berpuasa, Kak Ani belum pergi ke pasar ramadan lagi. Dulu, masa anak-anak kecil, setiap hari jugalah ke sana membeli juadah. Lebih kepada meraikan anak-anak. Bawa mereka memilih kuih muih yang dimahukan.

Setiap seorang, Kak Ani benarkan memilih satu jenis kuih sahaja. Jadi, ada tiga jenis kuih muih berbeza lah. Ketika itu, harga kuih ialah rm1, dapat tiga. Cukup untuk keluarga kecil kami.

Begitulah cara Kak Ani dulu, raikan anak-anak berpuasa. Berbeza dengan sekarang. Lebih suka memasak yang mudah-mudah saja. Sesekali, sediakan juga yang istimewa.

#puasaduludulu #catatanharian2017 #catatanpengalaman2017


Friday, 26 May 2017

Kenangan Berpuasa.

Teks : Saniah Mat Sanat.

Dulu, masa sekolah rendah rasanya. Umur tujuh ke lapan tahun, macam tu lah. Kak Ani dah diajar berpuasa. Balik dari sekolah memang tak larat sangat. Bila dah macam tu, mesti minta nak berbuka kat mak. 

Alah, puasa budak-budak kan. Tengahari dah buka tudung periuk. Hari ni puasa sekerat hari, esok separuh lagi. Bila tambah, jadilah sehari. Hihihi... kira-kira sendiri. Bangga pula tu. Kononnya, dah puasa.

Bila semakin besar, minta juga nak berbuka awal, mak suruh tidur atau main batu seremban. Inilah satu-satunya permainan yang mak benarkan bila bulan puasa. Kalau main kejar-kejar atau sorok-sorok, memang kena marah.

Cara mak abah ajar berpuasa itulah yang Kak Ani guna masa mahu mulakan anak-anak berpuasa. Tiada paksaan. Cuma kongsi apa yang 'best' bila kita berpuasa. Cerita kenapa perlunya kita puasa.

Pengalaman Kak Ani berpuasa dengan anak-anak semuanya okay. Tak susah nak kejut bangun sahur. Drama sikit-sikit tu, biasalah budak-budak lagi kan. Kejap-kejap tanya bila nak azan. Azan waktu zuhur atau asar pun mereka ingat dah boleh berbuka.

Sebenarnya, anak-anak ni macam kitalah masa kecil - kecil dulu. Ajarkan mereka perlahan-lahan, kena fahamkan dulu apa itu puasa. Dah faham, mudah saja. Mereka sendiri sanggup tak nak berbuka.

#catatanpengalaman2017


Thursday, 25 May 2017

Bulan Puasa.

Teks dan Foto : Saniah Mat Sanat.

Berbaki sehari saja lagi. Dah tak sabar sebenarnya. Bila bulan puasa, Kak Ani mesti teringat juadah berbuka puasa hasil air tangan mak iaitu mutabak pisang emas. Manis buah dicampur dengan kerangupan kulit murtabak itulah yang tak dapat Kak Ani lupa.

Kita ni, mak-mak mana boleh pisah dengan bercakap mengenai makanan kan. Sama saja. Setiap hari pun fikir bab nak makan apa, nak masak apa. Tak begitu.

Kalian tentu juga sudah sedia kan. Mesti sudah rancang dan beli bahan masakan untuk tempoh tiga puluh hari yang akan kita sama-sama hadapi. InsyaAllah.

Pagi tadi, Kak Ngah Nurul Aida Mohd Harizan, tanyakan di mana kami akan solat terawih tahun ini, terus tersentap hati Kak Ani. Tak sangkalah, dia tanya begitu. Tapi Kak Ani tunjuk wajah cool saja. Selamba jawab, solat di rumah, surau atau masjid berdekatan.

Kenapa Kak Ani rasa terkejut? Sebab semenjak anak-anak besar ni memang ajak mereka sama-sama berterawih. Tapi tak lah sehingga memaksa. Jika mereka ada kerja sekolah atau letih, tak mengapa tak pergi. Solat saja di rumah walaupun dua rakaat. Itulah yang Kak Ani dan tuan suami pesan sebelum kami ke masjid.

Kalian, didik anak memang memakan masa. Kita lah sebagai ibu bapa perlu tunjukkan contoh terlebih dahulu. Mereka lihat apa yang kita lakukan.

Pengalaman Kak Ani, bila lihat anak-anak ni, memang rasa nampak diri sendiri sepertimana cermin memantulkan kembali imej kita. Mudah sebenarnya mahu muhasabah diri, tambahan pula bulan puasa ni kan.


Friday, 5 May 2017

PWTC Lagi

Teks dan Foto : Saniah Mat Sanat

Tengahari tadi, gigih Kak Ani menapak ke Stesen Komuter UKM. Adalah 15 minit perjalanan dari rumah.

Sebenarnya Kak Ani ke PWTC lagi. Ini sudah kali yang ketiga. Kali ini, khas mahu dengar cerita dari Puan Nisah Haron di reruai DBP.


Monday, 17 April 2017

Hari Minggu.

Teks : Saniah Mat Sanat

Hari minggu, spend masa dengan family. Aktiviti biasa Kak Ani ialah pergi pasar, masak dan makan bersama. Kak Ani masih pantau anak-anak siapkan kerja-kerja rumah dan sekolah mereka.

Bukan apa, kita sebenarnya tak boleh ambil mudah tau walaupun anak-anak dah besar. Mereka masih perlu tunjuk ajar. Ya, memang mereka sudah boleh, tapi apa pun kita perlu ada sebagai pembimbing. Betul tak?


Sunday, 9 April 2017

Rutin Hari Ini.

Teks : Saniah Mat Sanat.

Alhamdulillah. Pagi tadi masak nasi lemak. Selepas sarapan, Kak Ani dan tuan suami ke pasar. Macam biasa, beli ayam, ikan, sayur dan bahan masakan yang lain. Kali ini, Kak Ani ajak tuan suami ke Pasaraya SpeedMart untuk beli barang dapur kering pula.

Sampai di rumah, rehat sekejap. Kemudian, barulah mula kemas dan bersihkan barang -barang yang dibeli tadi. Masak ikan goreng dan asam rebus bendi saja untuk makan tengahari.

Memang nak masak yang ringkas saja hari  ini. Maklumlah kan pagi tadi makan nasi lemak.


Saturday, 8 April 2017

Menu hari ini,Semalam dan Kelmarin

Teks : Saniah Mat Sanat.

Hari ini, Kak Ani masak nasi goreng. Ini resepinya. Bawang putih, dua ulas. Cili padi, satu biji. Ikan bilis, segengam. Telur, sebiji. Garam, dua sudu kecil dan sudah tentu bahan utamanya iaitu nasi semalam. Kak Ani tumbuk bawang dan cili dahulu, kemudian baru tumbuk ikan bilis sampai lumat. Tumis bahan tumbuk sehingga sedikit garing kekuningan. Ketepikan bahan tumis dan masukkan telur. Kacau telur. Barulah masukkan nasi. Goreng sepuluh minit. Dah masak, angkat dan hidang.

Semalam pun masak nasi goreng, cuma guna cili kering. Lain rasanya. Untuk tengahari, Kak ani masak, ayam masak tempoyak. Resepinya sama macam kita masak, ikan masak tempoyak. Sayur pula, ulam timun dan sambal belacan. Satu lagi ialah ikan masin buat tambah selera.

Kelmarin, Kak Ani masak, ayam pindang. Sarapan roti sahaja. Anak kembar Kak Ani berpuasa. Itu yang ringkas sahaja.

********

Tidak perlu tunggu kita jadi orang sempurna baru mula untuk menulis. Tulislah sepotong ayat sekalipun, tuliskan di tempat yang boleh di baca. Bukan sekadar simpan di minda atau di hati, kelak ia akan lenyap ikut kita pergi sekali. Jadikan menulis itu sebagai ibadah.

Mahu mula menulis di blog? Kami di Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) menawarkan kelas secara online. Pm di FB untuk maklumat atau terus baca di blog saya.