[ BLOG PILIHAN ]
Saya menyertai Car Boot Sales yang pertama pada 21 September 2014 di Danau Kota, Setapak bersebelahan dengan tapak pasar pagi. Bertemankan dengan seorang rakan sekerja, saya mencuba nasib dengan menjual sedikit pakaian dan novel terpakai. Jujurnya saya tiada pengalaman untuk berniaga, apabila lagi untuk berhadapan dengan pelanggan secara berdepan sebegini.
Tempat menyusunan buku serta menyangkut pakaian pun menggunakan apa yang saya ambil dari rumah. Tiada pengurusan yang betul-betul dibuat kerana kami menyertai pada saat-saat akhir. Bagi saya yang mempunyai sifat segan dan agak penakut untuk memulakan bicara pada orang yang tidak dikenali, inilah cabaran yang ingin saya lakukan.
Permulaan pagi itu, tidaklah ramai orang kerana tapak ini baru sahaja digunakan untuk program Car Boot Sales. Jika ada pun, kebanyakkannya hanya setakat singgah sebentar, melihat dan berlalu begitu sahaja. Hampir sejam lebih, rakan saya sudah dapat menjual beberapa helai pakaiannya. Ketika itu, saya juga ada pelanggan yang berpotensi untuk membeli novel saya, namun dia agak ragu-ragu sama ada novel yang ingin dibeli, sudah ada dalam simpanan dia atau tidak. Tetapi kerana ragu-ragu, dia tidak jadi untuk membeli.
Waktu itu, saya agak kecewa juga. Peluang untuk saya mengurangkan novel yang makin menimbun seperti tidak berhasil. Hampir ke jam 11 pagi, kerana matahari panas semakin terik, ada peserta Car Boot Sales sudah mengemas barang dan balik. Tergugat juga rasanya, malah kami pun berkira-kira untuk balik. Cuma yang menghalang kami dari bergerak balik adalah kesabaran untuk menanti lagi pelanggan yang mungkin akan membeli pada saat-saat akhir.
Dan ianya berbaloi kerana tidak sampai 20 minit, ada seorang pelanggan yang berminat dengan novel saya. Daripada harga RM10 sebuah, dia meminta RM7 sebuah supaya dia boleh membeli dengan banyak. Dengan pantas, tanpa berfikir panjang dan tanpa merancang dengan baik, saya terus meletakkan harga RM5 sebuah.
Dengan gembira, pelanggan tersebut terus membeli 10 buah buku. Biarpun di dalam hati terasa ralat kerana terlalu cepat meletakkan harga dengan murah, tetapi pulangan RM50 untuk kali pertama berniaga, adalah sesuatu yang sangat seronok. Saya dan rakan saling berbicara ‘Jangan terlalu mudah untuk putus asa apabila melihat orang lain sudah balik. Jika kita balik, sudah pasti balik dengan tangan kosong.’
Inilah pengalaman yang saya kira, memberi peluang kepada diri sendiri merasai jerih perit orang berniaga. Memupuk sifat kesabaran di dalam berinteraksi dengan pelanggan dan memahami pelbagai kerenah serta kehendak pelanggan.
Berkenalan dengan penulis Munirah Yusoff
Pelajar Kelas Blog Penulisan, Bisnes dan Rakan Niaga ABDR
No comments:
Post a Comment