Teks : Saniah Mat Sanat
Foto : Carian Google
Bismillah. Alhamdulillah.
Sebenarnya hantaran tidaklah wajib, yang wajib hanyalah mas kahwin. Mas kahwin adalah hak kita. Hantaran hanya salah satu adat masyarakat kita.
Mas kahwin (mahar) ialah pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya. Kenapa? Ia merupakan hadiah wajib seorang lelaki kepada isterinya kerana menerimanya sebagai suami. Apakah bezanya mas kahwin dengan hantaran? Hantaran pula ialah satu adat yang diamalkan disebut, juga boleh disebut sebagai 'balasan'.
Apakah hukum keduanya?
Mas kahwin hukumnya adalah wajib, sepertimana yang telah dinyatakan di dalam surah anNisa ayat 4.
" Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya, maka makanlah (gunakanlah) pemberian ( yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya"
Mas kahwin ini merupakan hak mutlak isteri, dan suami tidak berhak untuk mengambilnya kembali.
Hantaran pula ialah hadiah kepada setiap pasangan masing-masing, ianya bukanlah hadiah yang wajib. Ia terpulang kepada pasangan.
Apa yang menjadi masalahnya kini, hantaran diletakkan dengan jumlah yang tinggi sehingga membebankan kepada bakal suami. Ada juga ceritanya yang minta hantaran tinggi kerana ingin berlawan dengan jiran, kakak atau orang lain.. Apabila perkara ini berlaku, si lelaki akan mencari jalan dengan cara "pinjaman". Kebahagiaan dirasai dengan duit yang banyak, sedangkan kemudharatan sedang menanti. Jadilah satu keluarga yang akan hidup dengan hanya membayar hutang keliling pingang. Masa inilah waktu yang tepat untuk syaitan beraksi, saling menuduh, salah-menyalahkan dan akhirnya. Keretakan rumahtangga akan berlaku, nauzubillah.
Tidak kurang juga dengan "kegilaan" terhadap hantaran yang mewah. Sepertimana yang kita tahu hantaran adalah adat. Hantaran ini boleh dilaksanakan selagi tiada unsur haram di dalamnya, contohnya hantaran arak. Memang haramlah hukumnya dan selagi tidak membawa kepada pembaziran. Maka tiada salahnya hantaran ini bagi memeriahkan majlis tapi biarlah berpada. Maknanya, tidak menyusahkan serta membebankan kedua-dua pihak. Jadi, mengenai hal ini perlulah mendapat perbincangan yang memudahkan kedua-dua pihak.
Di Malaysia nilai mas kahwin telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri, nilainya dalam lingkungan RM22 hingga RM120. Hanya yang kita lebih fokuskan dalam adat Melayu adalah wang hantaran yang nilainya mencecah ribuan ringgit.
Sebenarnya ibu bapa yang memainkan peranan dalam hal ini. Mereka perlu sedar dan memahami kehidupan anak-anak bermula bila saja melangkah ke alam rumahtangga. Bahagia anak-anak, bahagialah kita sebagai ibu-bapa.
Rasulullah pun dah pernah bersabda, " Sebaik-baik mas kahwin itu adalah yang paling senang atau paling rendah," ( Abu Daud)
Rasulullah bersabda lagi, "carilah (sesuatu yang boleh dijadikan mahar ) walaupun sebentuk cincin dari besi " (Bukhari dan Muslim )
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara kebaikan seorang wanita ialah mudah lamarannya, mudah mas kahwinnya dan mudah rahimnya (yakni mudah melahirkan anak).” (Riwayat Imam Ahmad).
Sekiranya jumlah mas kahwin yang diwajibkan oleh syarak turut dianjurkan untuk dipermudahkan, inikan pula wang hantaran yang hanya sekadar adat sahaja.
Jangan pula dek kerana nak membayar wang hantaran yang tinggi bakal pengantin lelaki terpaksa bergolok bergadai bahkan berhutang keliling pinggang. Setelah berkahwin terpaksa pula hidup dalam keadaan kewangan yang sempit yang akhirnya isteri juga akan menanggung akibatnya.
“Nilai maruah seorang wanita atau isteri tidak terletak kepada nilai wang hantaran tinggi. Nilai seseorang wanita juga tidak wajar dilihat dari segi pendidikan, jawatan mahupun kemasyhuran."
Semua manusia tidak mengira keturunan, kedudukan, jantina mahupun bangsa adalah sama sahaja di sisi ALLAH SWT dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan seseorang. Makin tinggi nilai takwa seseorang semakin mulia seseorang itu di sisi ALLAH SWT.
Apa guna status, kedudukan dan status sekiranya seseorang wanita itu tidak mampu menjadi hamba ALLAH yang baik mahupun isteri yang boleh membahagiakan suaminya
Jadikan hari pernikahan itu, PEMULA HARI KEBAHAGIAAN dan KETENANGAN, bukan HARI PENDERITAAN..
Dahulukan SYARIAT. Tidak mengapa kita menolak adat, yang pentingnya kita TAAT. Fahami konsep ini, " barangsiapa yang menyulitkan urusan orang lain, Allah akan menyulitkan urusannya di akhirat.."
No comments:
Post a Comment