Wednesday, 27 August 2014

Rokok.

Teks : Saniah Mat Sanat

Foto : Carian Google
Bismillah.  Alhamdulillah. Alhamdulillah.  Alhamdulillah.

Anak-anak sudah ke sekolah.  Pagi ini, kami sekeluarga bersarapan ubi getuk.  Malam tadi menolong Kak Ngah Aida selesaikan tugasan sains yang diberikan oleh gurunya.  Tugasan yang diberikan mengenai rokok.  Walaupun tugasan itu untuk Kak Ngah Aida tapi saya juga mendapat ilmu tentang rokok.  Rupa-rupanya begitu banyak bahan kimia yang terdapat pada sebatang rokok.  Saya kongsikan di sini maklumatnya.


Hukum merokok

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Apakah bahan-bahan yang terkandung di dalam rokok?

Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.

Bahan Toksik Dalam Asap Rokok

Terdapat beribu-ribu jenis bahan kimia beracun di dalam asap rokok. Di bawah hanya beberapa bahan-bahan dan di mana ia kerap dijumpai.

Bahan kimia dalam rokok            Sumber bahan kimia
Metanol                                       Bahan Api
Nitrobenzena                                Gasolin
Karbon Monoksida                        Asap kereta
Butana                                        Cecair pemetik api
Raksa                                        Logam dalam jangka suhu
Vinil Klorida                                Bahan utama plastik
Toulena                                       Pelarut industri
Ammonia                                       Pencuci lantai
Arsenik                                       Racun tikus
Kadmium                                       Bahan utama bateri alkali
Stearik                                       Bahan utama dalam lilin
Sianida                                       Racun berbisa

Bahaya merokok

a) Asap Rokok Mengancam Kanak-Kanak

Perokok pasif adalah orang yang dipaksa menyedut asap rokok basi yang datang dari perokok. Kepekatan bahan kimia beracun yang terkandung dalam asap rokok basi adalah lebih jika dibandingkan dengan kepekatan asap disedut oleh perokok secara aktif. Anak-anak yang didedahkan pada asap rokok basi ini mengalami risiko lebih tinggi untuk mengalami pelbagai masalah kesihatan. Mereka cenderung untuk mengalami masalah seperti batuk, asma serta jangkitan paru-paru dan telinga.

b) Rokok Mengakibatkan Mati Pucuk

Rokok mengandungi berbagai-bagai bahan bahaya termasuk nikotin.
Kebiasaan merokok menyebabkan penggantungan dan ketagihan nikotin.
Nikotin menyebabkan saluran darah ke zakar menjadi sempit dan tersumbat. Dengan itu nikotin mengakibatkan mati pucuk.
Kualiti sperma anda akan terganggu.
Kemampuan menghasilkan ereksi akan berkurangan dan nafsu seks akan menjadi lemah.

c) Merokok Mengakibatkan Strok

Bahan kimia yang dibebaskan oleh asap rokok akan menjejaskan organ-organ dalam badan. Merokok menambahkan risiko penyakit berbahaya dan menyebabkan 10–12% dari kematian di Malaysia. Strok (Angin Ahmar) amat berkait rapat dengan tabiat merokok.
Kesan nikotin yang disebabkan oleh merokok merosakkan saluran darah.
Dinding salur darah akan menjadi tebal dan sempit, dan dengan itu aliran darah akan menjadi sukar.
Strok disebabkan oleh salur darah tersumbat di dalam otak.
Sebahagian badan anda mungkin akan lumpuh dan anda mungkin maut.

d) Rokok Mengakibatkan Serangan Sakit Jantung

Merokok sememangnya satu tabiat buruk. Malangnya 50% dari golongan lelaki di Malaysia merokok. Merokok merupakan faktor risiko utama bagi penyakit bahaya dan menyebabkan 10–12% kematian di Malaysia. Serangan sakit jantung adalah berkait rapat dengan merokok.

e) Rokok Mengakibatkan Kanser Paru-Paru

Asap rokok mengeluarkan hampir 4,000 bahan kimia beracun dan 53 dari bahan kimia ini boleh mengakibatkan kanser. Merokok menambahkan risiko penyakit merbahaya seperti kanser paru-paru. Ia merupakan kanser paling kerap dialami golongan lelaki dan amat berkait rapat dengan tabiat merokok. Jika kita mengalaminya, peluang untuk sembuh amat kecil sekali.

Katakan tidak pada rokok.  Banyak kemudharatan dari kebaikan.  Alhamdulillah, tiada ahli keluarga yang merokok.