Friday, 20 September 2013

Mudanya Kahwin

Teks : Saniah Mat Sanat

Foto : Carian Google


Bismillah.

Assalamualaikum.


" Mudanya kahwin, kenapa ? " itulah soalan yang selalu di tanya oleh rakan atau orang yang baru mengenali saya.  Ya, soalan yang saya sendiri sukar mahu menjawabnya.  Maklum sajalah semasa membuat keputusan ingin berkahwin, umur saya baru berusia sembilan belas tahun.  Apalah sangat yang difikirkan oleh seorang anak gadis.  Apabila saya menambah ilmu, baru saya tahu kebaikan kahwin muda.  Bagi saya, jika seorang lelaki itu baik dan berani cukuplah.  Ceteknya pemikiran saya ketika itu.  Orang mudalah katakan.  Eh, jangan marah ya.  Baca dulu kebaikan kahwin muda di bawah.

 Banyak sebenarnya kelebihan berkahwin semasa usia muda.  Sebahagian dari kita tidak menyedari kahwin muda mampu memelihara maruah wanita serta  keluarganya dari fitnah dan zina. Lebih-lebih lagi ketika berada di pusat pengajian yang sama. Sudah pasti bila ada masa terluang janji temu akan diatur bagi melepas kerinduan. Sekali dua mungkin boleh bertahan tetapi masuk ketiga dan seterusnya, adakah keadaannya masih sama ? Ditambah pula jika ‘berdua’ sudah pasti ada yang ketiga iaitu ‘syaitan’. Dengan berkahwin, segala-galanya terpelihara.Baik dari segi syariat, akhlak, agama dan macam - macam lagi. Dari sudut yang lain, ibu bapa tidak perlu lagi risau kerana sudah ada orang yang sah di sisi agama untuk menjaga keselamatan, keperluan dan kebajikan anak perempuannya.

Islam juga mengalakkan kita untuk menyegerakan perkahwinan jika sudah cukup syarat-syarat zahir dan batin.  Berkahwin bukankah mengikut fitrah kejadian manusia itu sendiri.  Perkahwinan juga termasuk amalan sunnah kerana boleh memperbanyakkan jumlah umat Islam di muka bumi. Paling utama, in shaa Allah  kita punyai saham akhirat apabila ada anak soleh yang mendoakan apabila kita di alam sana nanti. Jika agama menyukai, mengapa kita harus menangguhkannya ? 

Beritahulah saya siapa yang  boleh tahan dengan godaan cinta di zaman sekarang? Dengan iman yang hanya senipis kulit bawang, bagaimana kita ingin memikul gelodak nafsu yang membuak - buak. Jikalau kita menunggu untuk berkahwin apabila hanya apabila kita mempunyai kerja, memiliki kereta dan rumah, bayangkan derita perasaan yang perlu ditanggung sebelum sampai masa itu? Anak -anak muda zaman sekarang berSMS, berfacebook dan berbual di telefon tidak henti, berpegangan tangan, menonton wayang, bukankah itu boleh membangkitkan nafsu dan membawa ke arah zina? Langkah penyelesaiannya ialah percepatkan akad nikah agar tidak terus mendekatinya. Ia bukan sahaja dapat mengelakkan hubungan luar nikah, malah kes kahwin ke Selatan Thailand dan kes buang bayi juga boleh dielakkan.
Ya lah, sebelum ini kita hanya mempunyai seorang ibu dan seorang bapa, sekarang bukan saja bergelar suami atau isteri kita juga sudah mempunyai dua ibu dan dua bapa. Jika selama ini kita lebih suka bersikap bekerja atau belajar sambil lewa sahaja, sekarang lebih bersemangat dan bekerja keras demi menyara keluarga yang dicintai.
Ya, seronok kahwin muda ni, mana tidaknya.  Kita akan sama - sama berkongsi apa jua ujian dan kegembiraan yang kita ada bersama pasangan. Kegembiraan yang dirasai sukar difahami dan diterangkan dalam bentuk kata - kata. Ya, memang ada masanya sakit kepala memikirkan tentang ragam pasangan, anak kecil, perbelanjaan rumah tetapi semua ini tidak dirasai kerana kita mempunyai seorang teman yang sedia menjadi dahan tempat berpaut dan menjadi pendengar di kala suka dan duka. Terutamanya dengan kehadiran anak -anak yang comel dan sihat yang akan menambahkan lagi kegembiraan dan ketenangan.
Perkahwinan juga dapat mengubah sikap  seseorang yang dahulunya suka bersikap sambil lewa kepada lebih berfikir secara matang. Ia membuatkan kita ingin memajukan diri dan mengelakkan kita dari membuat kerja yang sia - sia seperti melepak bersama rakan atau membaca majalah yang bukan ilmiah. Perkahwinan sebenarnya memberi  kita peluang menambah ilmu. Contohnya dulu kita kurang mahir memasak sekarang sudah mahir bukan ?
Saya sendiri akui titik tolak paling penting dalam kehidupan saya adalah perkahwinan, kerana mulai detik  bergelar isteri saya berubah ke arah lebih baik. Sikap ambil mudah dan kurang rajin semasa zaman bujang dapat diubah secara perlahan - lahan.  Saya sudah rajin untuk ke dapur dan mengemas rumah. 
Dengan berkahwin semasa berusia muda, sudah tentu cepat mempunyai anak. Belum umur di usia persaraan pun anak-anak sudah sudah besar panjang dan tanggungjawab mendidik dan membesarkan sudah selesai. Dengan badan yang sihat, duit pun ada dan anak-anak sudah besar, kita bolehlah menghabiskan masa yang terluang dengan memperbanyakkan amalan dan boleh berbulan madu sekali lagi.
Pastinya tenaga usia muda lebih kuat jika dibandingkan usia ketika sudah lewat umur.  Menurut kajian perubatan, antara faktor utama kemandulan adalah berkahwin lambat bagi orang lelaki. Bagi orang perempuan pula juga perlu berhati - hati di mana jika kita berkahwin di usia lingkungan tiga puluh lima tahun, kita mungkin dinasihatkan untuk tidak mengandung kerana bimbang berlaku perkara yang memudaratkan diri.
Antara alasan mereka yang mahu melewatkan perkahwinan ialah kerana kekurangan kewangan.  Yalah, apabila sudah mendirikan rumahtangga tentulah asyik fikirkan perbelanjaan rumah seperti ansuran kereta, bayaran sewa rumah, bayaran pengasuh dan macam-macam lagi yang selalu bermain difikiran. Tapi percayalah, Tuhan tidak akan membebankan hambanya melebihi apa yang mampu ditanggung oleh mereka. Berkahwin adalah tuntutan agama, dengan sendirinya rezeki itu akan datang kepada kita walaupun pada mulanya sedikit, tapi kelak kita akan dapat mengatasi kesulitan itu selagi kita percaya dan bepegang kepada rahmat - Nya.








No comments:

Post a Comment